No Image Caption

Sinergi guru dan ibu bapa bentuk potensi anak berkeperluan khas

07 Feb 2026 10:30am

Setiap anak berkeperluan khas mempunyai potensi unik yang berbeza daripada rakan sebaya. Perkembangan mereka boleh terjejas dalam pelbagai domain seperti kognitif, bahasa dan komunikasi, emosi dan tingkah laku, serta kemahiran motor kasar dan halus.

Menyokong perkembangan mereka memerlukan perhatian, kesabaran, dan kerjasama erat antara guru dan ibu bapa.

Guru Pendidikan Khas berperanan merancang pengajaran, menyediakan intervensi khusus dan memantau perkembangan murid. Namun, masa di sekolah hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan anak.

Sokongan ibu bapa di rumah memainkan peranan penting untuk memperkukuh apa yang dipelajari di sekolah, meningkatkan keyakinan diri anak dan membentuk kemahiran harian mereka.

Penglibatan ibu bapa boleh bermula dengan perbincangan terbuka bersama guru, berkongsi pemerhatian tentang minat, kelebihan atau cabaran yang dihadapi anak. Dengan cara ini, guru dapat menyesuaikan strategi di sekolah, manakala ibu bapa pula dapat menyokong anak dengan pendekatan yang lebih sesuai di rumah.

Mendidik anak-anak berkeperluan khas memerlukan konsistensi dan kesabaran. Apabila guru dan ibu bapa bekerjasama, anak-anak menjadi lebih yakin, selesa menghadapi cabaran serta bermotivasi untuk belajar. Situasi ini membina keyakinan diri, kemahiran sosial dan kebolehan mengurus diri secara berperingkat.

(Gambar hiasan)
(Gambar hiasan)

Perbincangan yang berhemah membolehkan ibu bapa melihat sendiri peranan mereka dan menilai aspek yang boleh diperkuat di rumah tanpa merasa ditegur. Ia membuka ruang untuk refleksi dan perancangan bersama demi kebaikan anak.

Artikel Berkaitan:

Anak-anak yang menyaksikan guru dan ibu bapa bekerja seiring akan merasa lebih selamat, dihargai dan didorong untuk berkembang.

Kesimpulannya, anak berkeperluan khas berpotensi tinggi untuk berkembang secara optimum apabila guru dan ibu bapa bersinergi.

Pendidikan anak istimewa adalah perjalanan bersama yang memerlukan kesedaran, kerjasama dan kesabaran. Dengan sokongan yang konsisten serta penuh empati, anak dapat berkembang seimbang dalam aspek akademik, sahsiah, emosi dan sosial.

Maklumat penulis: 

Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan Kampung Nyior, Dr Nik Yusanida Nik Daud 

Ringkasan AI

  • Setiap anak berkeperluan khas mempunyai potensi unik yang berbeza dari rakan sebaya
  • Perkembangan mereka boleh terjejas dalam pelbagai domain seperti kognitif dan bahasa
  • Menyokong perkembangan memerlukan kerjasama erat antara guru dan ibu bapa
  • Sokongan ibu bapa di rumah penting untuk memperkukuh apa yang dipelajari di sekolah
  • Kerjasama antara guru dan ibu bapa penting untuk pembangunan keyakinan diri dan kemahiran sosial anak-anak berkeperluan khas
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp