
Bermula sebagai jurulatih silat, graduan UPM kini tukang keris muda yang mendapat perhatian raja
Di saat ramai anak muda memilih bidang digital, teknologi dan industri moden, seorang pemuda dari Kuantan, Pahang memilih laluan yang jauh berbeza iaitu menempa keris sebagai sebuah kerjaya.
Menurut graduan Master Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Muzzafar Mohd Zafri, dia memilih bidang ini kerana sangat meminati keris.
"Saya merupakan jurulatih silat yang banyak menggunakan senjata keris, namun sebagai orang muda saya terfikir untuk mengekalkan seni warisan ini dan menjadi pelapis paling menonjol dalam dunia pembuatan keris di Malaysia.
"Rezeki tak pernah salah alamat, apabila saya dipilih untuk mengikuti program pelapis tukang muda Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) selama tiga tahun bagi membangunkan kemahiran pembuatan keris dari proses awal sehingga siap sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, keris pertamanya yang dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia mendapat perhatian DYMM Sultan Selangor, sekali gus membawa kepada tempahan khas daripada Baginda.
Muzzafar dijemput ke Istana Alam Shah pada 2024 dan 2025 untuk menyerahkan keris buatannya sendiri dan ia satu penghormatan yang jarang dinikmati tukang muda seangkatannya.
Di sebalik pencapaian itu, sejarah hidupnya memperlihatkan perjalanan yang jauh lebih menarik bagi generasi muda.
Anak muda ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap UPM (2016) dan pernah menjadi jurulatih silat, di mana keris bukan sekadar senjata, tetapi simbol adab, budi dan identiti.
Dari situlah lahir minat mendalam yang akhirnya membawanya menyambung Master Sastera, dengan kajian bertajuk 'Keris: Cerminan Kebijaksanaan dan Adab Berkeris dalam Karya Agung Melayu'.
"Dalam tempoh lima tahun, saya telah menyiapkan 30 bilah keris dari sebuah bengkel kecil di tepi rumahnya.
"Kejayaan hari ini bukan datang mudah. Siang bekerja, malam menyiapkan kajian dan hujung minggu dihabiskan di bengkel menempa keris.
"Seni keris memerlukan masa dan jiwa. Dalam kesibukan belajar dan bekerja, masa adalah cabaran paling besar.
"Keris bukan benda lama yang ketinggalan zaman. Ia identiti bangsa, seni tangan, falsafah hidup. Kalau bukan kita yang muda ini meneruskan, siapa lagi?" ujarnya. - Portal UPM
Ringkasan AI
- Seorang pemuda dari Kuantan memilih menempa keris sebagai kerjaya atas minat yang mendalam terhadap keris
- Muzzafar Mohd Zafri, graduan Master Kesusasteraan Melayu UPM, terinspirasi dari pengalaman sebagai jurulatih silat
- Dipilih untuk program pelapis tukang muda Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) selama tiga tahun untuk mengembangkan kemahiran pembuatan keris
- Keris pertamanya mendapat perhatian DYMM Sultan Selangor dan membawa kepada tempahan khas daripada Baginda
- Dalam lima tahun, Muzzafar telah menyiapkan 30 bilah keris sambil mengimbangi waktu antara bekerja, belajar, dan menempa keris