Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Work life balance' tanggungjawab bersama

27 Feb 2026 08:19am

Tekanan adalah realiti kehidupan moden. Namun apabila tekanan tidak diurus dengan baik, ia boleh menjejaskan emosi, pertimbangan dan akhirnya tingkah laku seseorang.

Dalam masyarakat yang semakin kompetitif dengan tuntutan ekonomi, sosial dan kerjaya yang tinggi, tekanan hidup tidak lagi terhad kepada isu peribadi. Ia berpotensi menjadi cabaran sosial yang memberi kesan kepada kestabilan keluarga dan komuniti.

Peningkatan kos sara hidup, komitmen hutang, tekanan prestasi kerja serta tanggungjawab keluarga mewujudkan tekanan berlapis.

Ramai yang bekerja lebih masa demi memastikan kestabilan kewangan, tetapi dalam proses itu masa rehat, masa bersama keluarga dan ruang pemulihan emosi semakin mengecil. Keletihan fizikal dan mental yang berpanjangan boleh menghakis kestabilan emosi dan meningkatkan risiko konflik.

Dalam bidang kriminologi, 'Strain Theory' yang diperkenalkan oleh Robert K Merton menjelaskan bahawa tekanan boleh timbul apabila wujud jurang antara matlamat sosial yang ditekankan masyarakat seperti kejayaan material dan kestabilan hidup dengan kemampuan sebenar individu untuk mencapainya melalui saluran yang sah.

Apabila harapan tidak selari dengan realiti, perasaan kecewa, marah dan tertekan boleh terbentuk. Walaupun tidak semua individu bertindak secara negatif, tekanan yang berpanjangan tanpa sokongan meningkatkan risiko kepada tingkah laku menyimpang.

Teori ini tidak menormalisasikan jenayah, tetapi membantu kita memahami bahawa tekanan yang tidak diurus, ditambah dengan ketiadaan sistem sokongan, boleh menjadi faktor risiko dalam pembentukan konflik dan tindakan impulsif.

Oleh itu, penyelesaian tidak boleh bersifat menghukum semata-mata; ia perlu melibatkan pembinaan sistem sokongan yang lebih kukuh.

Keseimbangan Hidup dan Budaya Kepercayaan

Artikel Berkaitan:

Keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi merupakan asas kestabilan emosi dan keharmonian sosial.

Namun keseimbangan ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu individu. Ia memerlukan budaya kepercayaan daripada pihak berkepentingan, khususnya majikan dan organisasi.

Budaya kerja yang terlalu menekankan jam kerja panjang tanpa sempadan serta keperluan untuk sentiasa responsif perlu dinilai semula.

Produktiviti yang mampan lahir daripada pekerja yang sihat mentalnya, cukup rehat dan mempunyai ruang untuk keluarga serta pembangunan diri.

Apabila organisasi membina dasar yang fleksibel dan berteraskan kepercayaan, komitmen dan prestasi pekerja akan meningkat secara semula jadi.

Peranan Universiti Melangkaui Menara Gading

Institusi pendidikan tinggi juga memikul tanggungjawab penting dalam membentuk daya tahan individu sebelum mereka memasuki dunia pekerjaan. Universiti tidak lagi boleh dilihat sebagai menara gading yang terpisah daripada realiti masyarakat.

Ia harus berfungsi sebagai institusi kemanusiaan yang membina insan secara holistik.

Di Universiti Sains Malaysia (USM), pendekatan kesejahteraan diterjemahkan melalui ekosistem sokongan yang menyeluruh merangkumi perkhidmatan kaunseling, pembangunan sahsiah, program ketahanan mental serta pengukuhan spiritual melalui Pusat Islam dan inisiatif pembangunan nilai.

Pendekatan sehenti ini membantu mahasiswa dan warga universiti mengurus tekanan, memahami emosi serta membina keseimbangan antara akademik, kerjaya dan kehidupan peribadi.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed, pembangunan negara yang mampan bergantung kepada insan yang stabil dari segi intelek, emosi dan nilai. Pendidikan tinggi perlu membentuk kemahiran hidup, daya tahan mental dan kesedaran sosial agar graduan bukan sahaja kompeten, tetapi juga matang dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Tanggungjawab Bersama sebagai Benteng Sosial

Membina keseimbangan hidup memerlukan penglibatan semua pihak. Majikan perlu memperkukuh budaya kerja berasaskan kepercayaan. Universiti perlu menyediakan ekosistem sokongan yang membina ketahanan emosi dan spiritual.

Keluarga serta komuniti pula menjadi rangka sokongan sosial yang paling hampir dengan individu.

Pada peringkat individu, kesedaran untuk mengenali had diri, mengurus tekanan dan mendapatkan bantuan apabila perlu adalah langkah penting.

Mengakui keletihan bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk kematangan.

Keseimbangan hidup selain isu gaya hidup ia adalah infrastruktur sosial yang menentukan kestabilan masyarakat.

Apabila tekanan diurus dengan sistem sokongan yang berfungsi, risiko konflik dapat dikurangkan dan keharmonian sosial dapat diperkukuh.

Membina budaya kepercayaan dan kesejahteraan hari ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk melahirkan masyarakat yang lebih stabil, produktif dan berdaya tahan demi masa depan negara yang sejahtera.

Maklumat penulis

Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia, Dr Miharaini Md Ghani

Ringkasan AI

  • Tekanan adalah realiti kehidupan moden yang boleh menjadi cabaran sosial
  • Penyebab tekanan termasuklah peningkatan kos sara hidup dan tekanan prestasi kerja
  • Teori Strain menjelaskan tekanan timbul apabila wujud jurang antara matlamat sosial dengan kemampuan individu
  • Keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi penting untuk kestabilan emosi dan keharmonian sosial
  • Universiti memainkan peranan penting dalam membina ketahanan individu melalui ekosistem sokongan menyeluruh
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp