Namun, hakikatnya, kemunculan AI tidak menghapuskan peranan pensyarah, tetapi mengubahnya secara signifikan. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Siti Nasarah
Namun, hakikatnya, kemunculan AI tidak menghapuskan peranan pensyarah, tetapi mengubahnya secara signifikan. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Siti Nasarah

Peranan pensyarah memimpin & membimbing etika teknologi AI

04 Mar 2026 08:30am

Teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi bukan lagi sekadar konsep, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada realiti harian.

Pelajar kini mampu menghasilkan ringkasan nota, merangka esei, mendapatkan idea projek atau menyiapkan tugasan akademik hanya dalam beberapa saat melalui pelbagai aplikasi AI yang semakin mudah diakses.

Transformasi ini telah menimbulkan persoalan tentang peranan dan keperluan pensyarah apabila teknologi mampu memberi solusi dengan pantas.

Namun, hakikatnya, kemunculan AI tidak menghapuskan peranan pensyarah, tetapi mengubahnya secara signifikan.

Peranan pensyarah masa kini bukan sekadar penyampai kandungan, sebaliknya perlu menjadi pemimpin literasi teknologi dan pembimbing etika kepada pelajar.

Dalam era digital di mana maklumat boleh dijana secara automatik, nilai sebenar pendidikan tetap terletak pada kebolehan menilai, memahami dan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.

Perkembangan teknologi AI telah mengubah cara pelajar berinteraksi dengan ilmu.

Jika dahulu pelajar bergantung sepenuhnya kepada buku teks dan perbincangan di dalam kelas, kini mereka mempunyai akses kepada alat digital yang mampu menyelesaikan hampir semua tugasan akademik.

Tidak dinafikan, situasi ini memberi peluang besar kepada pelajar untuk meningkatkan kecekapan pembelajaran, namun pada masa sama menimbulkan cabaran baharu dari aspek integriti akademik dan kemahiran berfikir secara kritikal.

Artikel Berkaitan:

Foto: Canva
Foto: Canva

Perlu diakui, pelajar generasi hari ini membesar dalam persekitaran digital yang pantas dan responsif.

Mereka cenderung mencari penyelesaian segera dan AI menyediakan kemudahan tersebut.

Namun, kemudahan ini boleh membawa risiko sekiranya pelajar menggunakan teknologi tanpa memahami konteks, kesahihan maklumat atau batasan etika.

Di sinilah peranan pensyarah menjadi semakin penting sebagai penimbang tara antara teknologi dan nilai akademik.

Perubahan lanskap pembelajaran

Dalam menghadapi perubahan ini, pensyarah tidak boleh bersikap pasif atau defensif terhadap teknologi.

Mengelak teknologi bukanlah strategi yang realistik, kerana majoriti pelajar sudah pun menggunakannya secara meluas.

Sebaliknya, pensyarah perlu menerima teknologi ini, memahami cara ia berfungsi, potensi manfaatnya serta risiko yang mungkin timbul.

Penguasaan literasi AI memberi peluang kepada pensyarah untuk merancang strategi pengajaran yang lebih relevan dan menarik.

Sebagai contoh, pensyarah boleh menggunakan AI sebagai alat sokongan untuk menjana idea awal, menyediakan contoh variasi jawapan atau membantu pelajar memahami konsep kompleks melalui penjelasan alternatif.

Namun, sudah pasti penggunaan ini perlu disertai dengan kesedaran bahawa AI tidak sentiasa tepat dan boleh menghasilkan maklumat tidak sahih.

Selain itu, kemahiran mereka bentuk penilaian autentik bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan mendesak dalam era AI ini.

Penilaian yang hanya menumpukan kepada hasil akhir tidak lagi mencerminkan tahap pemahaman sebenar pelajar, tambahan pula dalam situasi di mana AI mampu menghasilkan esei atau tugasan akademik yang kelihatan meyakinkan hanya dalam masa beberapa saat.

Justeru, pensyarah perlu mengubah paradigma penilaian dengan memberi penekanan kepada proses pembelajaran itu sendiri.

Penilaian boleh dilakukan berdasarkan bagaimana pelajar berfikir, membuat keputusan, membina hujah dan menilai maklumat secara kritikal.

Sebagai contoh, tugasan berbentuk refleksi kendiri, penulisan kritis, perbincangan analitik atau analisis terhadap kandungan yang dijana AI bukan sahaja membantu mengesan tahap penguasaan sebenar pelajar, malah mampu membentuk budaya pembelajaran yang lebih jujur dan bertanggungjawab.

Ini jelas menunjukkan bahawa dalam era teknologi canggih sekalipun, nilai pendidikan tidak terletak pada kepantasan menghasilkan jawapan, tetapi pada pengalaman dan kedalaman pemikiran yang dibina sepanjang proses pembelajaran.

Foto: Canva
Foto: Canva

Cabaran integriti akademik

Antara persoalan utama yang sering dibangkitkan ialah sama ada penggunaan teknologi AI menggalakkan plagiarisme atau peniruan dan sekali gus mengurangkan usaha intelektual pelajar.

Kebimbangan ini tidak boleh dinafikan, kerana teknologi yang mampu membantu pelajar menyiapkan tugasan secara pantas dan automatik ini turut berpotensi disalahguna.

Namun, harus diingat, pendekatan berbentuk larangan semata-mata mungkin tidak berkesan dalam jangka panjang.

Sebaliknya, pensyarah perlu mengubah pendekatan daripada menghalang penggunaan AI kepada mendidik penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Pelajar perlu difahamkan bahawa teknologi ialah alat sokongan, bukan pengganti kepada proses pembelajaran sebenar.

Mereka perlu diajar bagaimana memetik sumber, menilai kesahihan maklumat dan menggunakan AI secara telus dalam tugasan akademik.

Dalam konteks ini, komunikasi terbuka antara pensyarah dan pelajar adalah sangat penting.

Perbincangan tentang etika penggunaan AI perlu dijadikan sebahagian daripada kurikulum, bukan sekadar peringatan umum.

Dengan cara ini, pelajar akan lebih memahami bahawa integriti akademik bukan hanya berkaitan dengan peraturan, tetapi nilai profesional yang akan membentuk masa depan mereka.

Peranan pensyarah untuk sentiasa menjadi role model atau contoh teladan yang baik tidak boleh dipandang ringan.

Cara pensyarah menggunakan teknologi dalam pengajaran dan penyelidikan akan mempengaruhi persepsi pelajar terhadap AI.

Sekiranya pensyarah menunjukkan pendekatan yang seimbang dalam memanfaatkan teknologi sambil mengekalkan integriti akademik, maka pelajar akan lebih mudah mencontohi amalan tersebut.

Sebaliknya, jika pensyarah enggan memahami dan menolak sama sekali teknologi baharu, jurang antara pengalaman pelajar dan kaedah pengajaran akan semakin besar.

Ini boleh menyebabkan pembelajaran menjadi kurang relevan dan gagal mencerminkan realiti dunia pekerjaan yang semakin dipacu teknologi.

Justeru, institusi pendidikan tinggi perlu memainkan peranan dalam menyediakan latihan dan sokongan kepada para pensyarah.

Pembangunan profesional berterusan dalam bidang teknologi pendidikan, literasi AI dan pedagogi digital perlu dijadikan keutamaan agar pensyarah dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

Foto: Canva
Foto: Canva

Nilai kemanusiaan

Walaupun AI menawarkan pelbagai fungsi, pendidikan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi.

Nilai kemanusiaan seperti empati, kreativiti, komunikasi interpersonal dan pemikiran kritikal kekal sebagai elemen penting yang tidak boleh digantikan oleh mesin.

Pensyarah perlu memastikan bahawa penggunaan AI tidak membatasi atau mengurangkan interaksi manusia dalam proses pembelajaran.

Perbincangan bersemuka, debat intelektual dan aktiviti kolaboratif masih memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran sosial dan intelektual pelajar.

Teknologi seharusnya memperkukuh pengalaman pembelajaran, bukan menggantikannya sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, pensyarah perlu membantu pelajar memahami bahawa kecanggihan teknologi tidak menjamin kualiti hasil kerja.

Nilai sebenar pendidikan terletak pada keupayaan individu untuk berfikir secara mendalam, membuat pertimbangan etika dan menghasilkan idea yang asli.

Era teknologi AI adalah satu transformasi yang signifikan dan tidak dapat dielakkan oleh dunia akademik.

Pensyarah perlu menerima hakikat bahawa peranan mereka sedang berkembang, daripada penyampai ilmu kepada fasilitator pembelajaran kritikal dan pembimbing etika teknologi.

Cabaran ini mungkin kelihatan besar, tetapi ia juga membuka peluang untuk mengubah dunia pendidikan menjadi lebih dinamik dan relevan.

Masa depan pendidikan bukan ditentukan oleh sejauh mana teknologi berkembang, tetapi bagaimana manusia menggunakannya dengan bijaksana.

Pensyarah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan AI menjadi alat bantuan supaya pembelajaran lebih efektif, bukan jalan pintas yang menghakis nilai integriti akademik.

Sebagai kesimpulan, dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, pensyarah bukan sekadar perlu mengikuti perubahan, tetapi turut memimpin arah tuju pendidikan.

Menerusi penguasaan kompetensi teknologi dan menegakkan prinsip etika, pensyarah mampu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berintegriti dan berfikiran kritikal.

Maklumat penulis:

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan, Dr Siti Nasarah Ismail

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ringkasan AI
  • Teknologi kecerdasan buatan dalam pendidikan tinggi membantu pelajar menyiapkan tugas akademik cepat namun tidak menghapus peranan pensyarah tetapi mengubah peranannya menjadi lebih kepada pemimpin literasi teknologi dan pembimbing etika
  • Pensyarah perlu memastikan penggunaan AI tidak mengurangi interaksi manusia dalam proses pembelajaran dan masih mempertahankan pembelajaran kolaboratif serta debat untuk mengembangkan kemahiran sosial dan intelektual pelajar
  • Pelajar perlu diajar menggunakan AI secara bertanggungjawab termasuk memetik sumber dan menilai kesahihan maklumat untuk memelihara integriti akademik
  • AI mengubah cara pembelajaran dan interaksi dengan ilmu namun pensyarah harus menjadi fasilitator yang membantu pelajar berfikir kritis dan menggunakan teknologi secara etis
  • Pensyarah harus menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan, menggunakan AI secara berinovasi dalam pengajaran sambil menegakkan nilai pendidikan dan integriti akademik
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan