AI tidak akan mengambil alih peranan pensyarah yang sebenar. Yang akan membezakan seorang graduan pada masa hadapan bukanlah kemampuannya menghasilkan jawapan menggunakan AI, tetapi kebolehannya berfikir secara kritis, membuat pertimbangan yang beretika dan memimpin masyarakat dengan hikmah. Itulah nilai yang tidak mampu dijana oleh mana-mana algoritma, walau secanggih mana sekalipun. Foto: Canva. Gambar kecil: Shafry
AI tidak akan mengambil alih peranan pensyarah yang sebenar. Yang akan membezakan seorang graduan pada masa hadapan bukanlah kemampuannya menghasilkan jawapan menggunakan AI, tetapi kebolehannya berfikir secara kritis, membuat pertimbangan yang beretika dan memimpin masyarakat dengan hikmah. Itulah nilai yang tidak mampu dijana oleh mana-mana algoritma, walau secanggih mana sekalipun. Foto: Canva. Gambar kecil: Shafry

Ketika AI menjadi pensyarah bayangan: Mampukah universiti pertahankan integriti akademik?

07 Aug 2026 05:46pm

Dahulu, mahasiswa menghabiskan berjam-jam di perpustakaan untuk mencari rujukan, meneliti jurnal dan menyusun hujah bagi menyiapkan tugasan. Hari ini, dengan hanya beberapa arahan (prompt), kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) mampu menghasilkan esei, ulasan literatur, analisis data, kod pengaturcaraan, malah cadangan penyelidikan dalam masa beberapa saat. AI kini bukan lagi sekadar enjin carian atau aplikasi bantuan pembelajaran. Ia telah menjadi 'pensyarah bayangan' yang sentiasa bersedia menjawab soalan, menjelaskan konsep dan menghasilkan tugasan pada bila-bila masa.

Fenomena ini sememangnya membawa potensi besar kepada dunia pendidikan tinggi. Namun, dalam masa yang sama, ia turut mengundang persoalan yang lebih besar: mampukah universiti mempertahankan integriti akademik ketika AI semakin sukar dibezakan daripada hasil pemikiran manusia?

Persoalan ini bukan lagi bersifat hipotetikal. Ia kini menjadi realiti yang sedang dihadapi oleh universiti di seluruh dunia.

Perdebatan mengenai isu ini kembali hangat apabila dunia pendidikan dikejutkan dengan satu kes yang berlaku di Universiti Brown, Amerika Syarikat. Profesor ekonomi, Roberto Serrano, mendapati purata markah peperiksaan pertengahan semester yang dijalankan secara take home meningkat secara luar biasa kepada sekitar 96 peratus, sedangkan kebiasaannya hanya berada antara 65 hingga 80 peratus. Kecurigaan beliau semakin memuncak apabila peperiksaan akhir diadakan secara bersemuka tanpa bantuan AI. Purata markah merosot kepada hanya 48.6 peratus, 18 orang pelajar menarik diri daripada kursus tersebut, manakala hanya segelintir pelajar mengekalkan prestasi yang hampir sama. Kes ini kini menjadi perhatian Jawatankuasa Integriti Akademik Universiti Brown dan mencetuskan perdebatan global tentang kesan AI terhadap kejujuran akademik.

Kes seperti ini bukanlah terpencil. Banyak universiti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia mula mengkaji semula pendekatan pentaksiran apabila semakin ramai pensyarah melaporkan tugasan yang terlalu sempurna tetapi gagal dihuraikan semula oleh pelajar ketika sesi pembentangan atau soal jawab. Fenomena ini menunjukkan bahawa cabaran utama bukanlah AI itu sendiri, tetapi bagaimana AI digunakan tanpa batasan etika.

Hakikatnya, AI bukan musuh pendidikan. AI juga bukan penyebab kepada keruntuhan integriti akademik. Sebagaimana internet tidak menjadikan seseorang itu berilmu secara automatik, AI juga tidak menjadikan seseorang itu cemerlang tanpa usaha. Yang menentukan baik atau buruknya teknologi ialah nilai yang membimbing penggunaannya.

Universiti perlu menerima hakikat bahawa AI tidak lagi boleh dihalang. Mahasiswa akan terus menggunakannya sama ada universiti bersedia ataupun tidak. Justeru, pendekatan yang hanya berorientasikan larangan bukan sahaja sukar dikuatkuasakan, malah boleh menyebabkan universiti ketinggalan dalam arus transformasi digital. Apa yang lebih penting ialah membentuk budaya penggunaan AI secara bertanggungjawab dan beretika.

Dalam konteks ini, pendekatan yang bersifat menyeluruh perlu digerakkan secara serentak oleh kerajaan, universiti dan pensyarah.Walaupun Malaysia kini mempunyai pelbagai dasar, pelan tindakan dan garis panduan berkaitan AI dalam pendidikan tinggi, cabaran sebenar bukan lagi kekurangan dokumen dasar, tetapi sejauh mana dasar tersebut diterjemahkan kepada amalan yang konsisten di peringkat universiti.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil langkah proaktif melalui Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 - 2035 dan Garis Panduan Penggunaan AI Generatif. Namun, persoalan yang lebih besar ialah sama ada setiap universiti telah benar-benar membangunkan dasar institusi, mekanisme pentaksiran, latihan pensyarah dan budaya integriti akademik yang mampu bergerak sepantas perkembangan AI. Perkara ini juga perlu diselaraskan dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya standard kualiti program akademik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, KPT boleh memperkenalkan modul Literasi AI dan Etika Digital sebagai kompetensi asas kepada semua mahasiswa. Sebagaimana universiti pernah memperkenalkan kursus berkaitan integriti dan kenegaraan, kini mahasiswa perlu didedahkan kepada kemahiran menilai ketepatan jawapan AI, mengenal pasti bias algoritma, memahami isu hak cipta serta mengamalkan ketelusan apabila menggunakan AI dalam tugasan akademik.

Di peringkat universiti, transformasi yang lebih besar perlu berlaku terhadap sistem pentaksiran. Selama bertahun-tahun, banyak tugasan lebih menumpukan kepada produk akhir seperti esei atau laporan. Dalam era AI, penilaian perlu beralih kepada proses pembelajaran. Pensyarah boleh meminta pelajar menyerahkan rekod perkembangan idea, jurnal refleksi, draf awal, bukti semakan sumber, serta menjalani sesi pembentangan atau viva voce. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko penyalahgunaan AI, malah membolehkan pensyarah menilai perkembangan pemikiran pelajar secara lebih autentik.

Universiti juga perlu membina Polisi Penggunaan AI Generatif yang jelas. Polisi tersebut tidak seharusnya hanya menyatakan larangan, tetapi menerangkan situasi di mana AI boleh digunakan sebagai pembantu pembelajaran, bagaimana penggunaan itu perlu dinyatakan dalam tugasan dan apakah tanggungjawab pelajar terhadap hasil akhir yang diserahkan. Ketelusan perlu menjadi prinsip utama. Jika AI digunakan untuk membantu menjana idea atau menyemak struktur penulisan, pelajar perlu mengisytiharkannya secara terbuka.

Pada masa yang sama, universiti perlu melabur dalam pembangunan profesional pensyarah. Ramai pensyarah masih belum menerima latihan formal mengenai AI generatif. Sedangkan mereka bukan sahaja perlu memahami keupayaan AI, malah perlu mengetahui cara mereka bentuk tugasan yang menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti dan penaakulan yang sukar digantikan oleh AI. Transformasi pedagogi ini jauh lebih penting daripada sekadar bergantung kepada perisian pengesan AI yang ketepatannya masih dipersoalkan.

Peranan pensyarah pula semakin mencabar. Dalam era AI, pensyarah tidak lagi menjadi satu -satunya sumber ilmu. Sebaliknya, mereka berperanan sebagai pembimbing intelektual yang membantu mahasiswa menilai, mengkritik dan memanfaatkan maklumat secara bijaksana. Tugasan juga perlu berubah daripada sekadar meminta pelajar 'menulis tentang sesuatu' kepada tugasan yang memerlukan mereka membuat analisis terhadap isu semasa, menghubungkan teori dengan pengalaman lapangan, mempertahankan hujah secara lisan atau menghasilkan penyelesaian kepada masalah sebenar.

Pensyarah juga wajar menggalakkan penggunaan AI secara telus dalam bilik kuliah. Contohnya, pelajar boleh diminta menunjukkan bagaimana AI digunakan, apakah kelemahan jawapan yang diberikan AI dan bagaimana mereka menambah baik hasil tersebut melalui analisis sendiri. Pendekatan ini mendidik mahasiswa supaya melihat AI sebagai pembantu, bukannya pengganti kepada proses berfikir.

Di pihak mahasiswa, perubahan minda juga amat penting. Mereka perlu memahami bahawa tujuan memperoleh pendidikan tinggi bukan sekadar mengejar gred, tetapi membina keupayaan berfikir, berhujah dan menyelesaikan masalah. Jika AI mengambil alih keseluruhan proses pembelajaran, maka graduan mungkin memperoleh ijazah, tetapi kehilangan kompetensi sebenar yang diperlukan dalam dunia pekerjaan. Dalam jangka panjang, kerugian itu akan kembali kepada diri mereka sendiri.

Daripada perspektif Islam, integriti akademik berkait rapat dengan konsep amanah. Ilmu ialah amanah daripada ALLAH SWT. Tugasan, peperiksaan dan penyelidikan juga merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur. Firman ALLAH dalam Surah al-Nisa', ayat 58 mengingatkan agar setiap amanah disampaikan kepada yang berhak. Prinsip ini tidak berubah walaupun teknologi berkembang. AI mungkin mampu menghasilkan jawapan yang baik, tetapi ia tidak mampu menggantikan kejujuran, amanah dan keikhlasan dalam menuntut ilmu.

Masa depan universiti bukan ditentukan oleh sejauh mana AI berjaya memasuki bilik kuliah, tetapi sejauh mana institusi pendidikan berjaya membentuk manusia yang mempunyai kebijaksanaan untuk menggunakan AI secara beretika. Universiti yang cemerlang pada masa hadapan bukanlah universiti yang mengharamkan AI, sebaliknya universiti yang berjaya mengintegrasikan AI dengan nilai integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab.

Akhirnya, AI tidak akan mengambil alih peranan pensyarah yang sebenar. Yang akan membezakan seorang graduan pada masa hadapan bukanlah kemampuannya menghasilkan jawapan menggunakan AI, tetapi kebolehannya berfikir secara kritis, membuat pertimbangan yang beretika dan memimpin masyarakat dengan hikmah. Itulah nilai yang tidak mampu dijana oleh mana-mana algoritma, walau secanggih mana sekalipun.

Maklumat penulis:

Pengarah Pusat Islam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) & Setiausaha Majlis Hal Ehwal Islam IPT Malaysia (MAHEIS), Shafry Salim

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp