
Bawa pulang pelajar: KPT dapatkan pandangan Kementerian Luar
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan petunjuk daripada Kementerian Luar sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut berhubung langkah membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik di Asia Barat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, sebarang urusan berkaitan krisis luar negara akan diterajui oleh Kementerian Luar selaku kementerian utama yang menyelaras hal ehwal diplomatik dan keselamatan di peringkat antarabangsa.
"Apa-apa pun kita akan mendapat clue (petunjuk) daripada Kementerian Luar," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Zambry berkata, setakat ini KPT terus memantau situasi di rantau tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia.
Beliau berkata, setakat semalam, hanya enam pelajar Malaysia yang masih berada di Iran dan kesemua mereka merupakan pelajar persendirian.
"Tahun lepas kita ada 13 orang (di Iran), namun setakat semalam kita dimaklumkan ada enam orang sahaja," katanya sambil menambah jumlah itu jauh lebih kecil berbanding di Jordan yang mencecah 1,700 orang.
Selain Jordan, tumpuan pelajar Malaysia di rantau tersebut turut melibatkan negara seperti Mesir dan Arab Saudi.
Zambry berkata, kementeriannya akan sentiasa berkongsi perkembangan terkini mengenai status pelajar-pelajar berkenaan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, beliau dilaporkan berkata, pelajar Malaysia di enam negara Asia Barat secara umumnya dalam keadaan selamat. - Bernama
- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengikuti arahan Kementerian Luar berkaitan langkah pembawaan pulang pelajar Malaysia di Asia Barat
- Kementerian Luar bertindak sebagai pemimpin dalam urusan krisis luar negara dan keselamatan antarabangsa
- KPT memantau keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat dari semasa ke semasa
- Enam pelajar Malaysia masih di Iran dan adalah pelajar persendirian
- Perhatian juga diberikan kepada pelajar Malaysia di Jordan, Mesir, dan Arab Saudi