
Huffaz DBTC gegar arena silat, bukti pelajar tahfiz bukan sekadar hebat menghafaz
Pelajar tahfiz sering dikaitkan dengan kecemerlangan dalam akademik serta kekuatan kerohanian. Namun di sebalik kelebihan itu, mereka turut membuktikan kemampuan luar biasa dalam arena sukan, khususnya seni mempertahankan diri.
Keupayaan itu jelas terpancar menerusi pencapaian pelajar Darul Barakah Tahfiz Centre (DBTC) atau lebih dikenali sebagai Pusat Tahfiz Al Barakah di Manjoi, Perak yang berjaya mencipta kejayaan membanggakan dalam beberapa kejohanan silat sepanjang tahun lalu dan tahun ini.
Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, seramai sembilan pelajar tahfiz DBTC telah dihantar menyertai Kejuaraan Silat Seni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) & Olahraga Terbuka Kebangsaan tahun lalu.
Apa yang lebih membanggakan, kesemua peserta tersebut berjaya muncul sebagai juara dalam kategori masing-masing tanpa mengalami sebarang kekalahan sepanjang pertandingan berlangsung.

"Bagi kategori Seni Jurus, empat peserta DBTC mempamerkan persembahan yang mantap, kemas serta penuh disiplin sehingga berjaya menewaskan pencabar daripada pelbagai negeri.
"Dalam kategori Seni Asli pula, dua peserta berjaya menampilkan gerakan tradisi yang sarat dengan nilai seni dan penghayatan, sekali gus memastikan gelaran juara menjadi milik pasukan DBTC.
"Kategori Seni Tempur turut menyaksikan dua wakil mereka mempamerkan keberanian, strategi serta ketangkasan luar biasa sehingga berjaya menundukkan lawan yang berpengalaman dari seluruh negara," kongsi kenyataan itu.
Seterusnya, seorang lagi peserta yang bertanding dalam kategori Seni Tari turut memikat hati juri menerusi persembahan bertenaga dan penuh ekspresi, sekali gus melengkapkan kemenangan bersih sembilan peserta daripada sembilan penyertaan.
Tidak terhenti di situ, momentum kecemerlangan pelajar tahfiz tersebut diteruskan apabila DBTC menyertai Kejohanan Warisan Dato Maharajalela Universiti Teknologi Petronas (UTP) Siri Ke-4 yang berlangsung pada 11 hingga 15 Februari lalu di Seri Iskandar, Perak.

Dalam kejohanan tersebut, DBTC menghantar dua pasukan iaitu Team A dan Team B melibatkan seramai 12 peserta keseluruhannya.
Hasilnya, tiga peserta iaitu Muhammad Darwisy Iman Anuar, Muhammad Luqman Hakim Mohammad Azmi dan Muhammad Syamil Mohd Shahrul Rizal berjaya meraih tempat kedua bagi acara Jurus Regu.
Manakala Putra Muhammad Adam Azadi Sani pula berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori Jurus Tunggal.
Kejayaan para pelajar ini tidak datang dengan mudah kerana mereka dibimbing oleh jurulatih berpengalaman iaitu Zulqarnain Abu Hassan selaku jurulatih utama, dibantu Pengurus Pasukan, Ustaz Abdullah Azzam serta gurulatih Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Akademi Silat Tok Teja, Cikgu Mohd Fuad Ismail dan Cikgu Mohammad Hafidzul Mohamad Azam.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Zulqarnain melahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan para pelajar tahfiz yang berjaya mengharumkan nama pusat tahfiz berkenaan dalam arena silat.

Menurutnya, cabaran yang dihadapi pelajar tahfiz jauh berbeza berbanding atlet sekolah sukan kerana jadual harian mereka amat padat dengan pembelajaran akademik serta aktiviti kerohanian.
"Latihan mereka tidak seperti atlet sekolah sukan sepenuh masa. Kehidupan pelajar tahfiz padat dengan akademik dan kerohanian.
"Namun minat yang mendalam, komitmen tinggi, kecekalan serta disiplin yang mereka tunjukkan membuktikan bahawa mereka mampu berjuang sehingga ke penghujung," katanya.
Beliau turut yakin DBTC di bawah kepimpinan pengerusinya, Datuk Kazim Elias mampu terus melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi rohani, intelektual dan jasmani.
