
Pelajar MRSM maut dirempuh kereta, pemandu dipercayai terlelap
Seorang pelajar perempuan yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai tertidur di Jalan Merotai, Tawau, Sabah petang semalam.
Dalam nahas jam 4.30 petang itu, mangsa, Mauritania Maroyali, 18, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau pada jam 4.08 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian, mangsa membonceng motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang adiknya, Ahmad Ramadhan Aziq, 17, pelajar Kolej Vokasional, dalam perjalanan dari Kampung Manggaris, Merotai, menuju ke pusat bandar.
"Sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun sedang bergerak dari arah bandar Tawau menuju ke Felda Umas.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai tertidur sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. Kenderaan itu kemudian melanggar motosikal dinaiki dua beradik berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.08 pagi, manakala adiknya masih menerima rawatan di hospital. Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Susulan itu, pemandu Proton Wira ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya. - Buletin TV3