
Rangkul 9A+ SPM 2024, strategi bijak pelajar MRSM Besut jadi perhatian!
Kejayaan cemerlang diraih Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Siti Nur Arilia Dania Mat Daud yang memperoleh keputusan 9A+ membuktikan usaha konsisten sejak awal mampu membuahkan hasil membanggakan.
Merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu, Siti Nur Arilia Dania berkongsi bahawa perjalanan menuju kejayaan bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya bermula seawal Tingkatan Empat.
Menurutnya, asas yang kukuh amat penting bagi memastikan kelancaran pembelajaran di Tingkatan Lima.
"Saya mula push diri sejak Tingkatan Empat lagi. Saya akan bangun awal dan belajar dari pagi. Tingkatan Empat sangat penting kerana waktu itulah kita perlu kuatkan asas," kongsinya menerusi satu hantaran video di Facebook rasmi maktab berkenaan.
Anak bongsu daripada 11 beradik itu turut menasihati calon-calon SPM agar sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan maktab.
"Follow peraturan maktab. Mungkin ada yang pandang remeh, tetapi perkara inilah antara yang penting. Datang awal ke kelas, pergi surau, jadi pelajar yang berdisiplin.
"Jangan tinggal solat sunat seperti solat hajat dan solat taubat. Jangan buat hal di maktab, fokus dalam kelas kerana tujuan kita datang adalah untuk belajar,” ujarnya penuh makna.
Beliau yang juga penerima tajaan Budi PNB melahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan sehingga berjaya menamatkan persekolahan dengan cemerlang.
Kejayaan 9A+ yang diraih bukan sahaja mengharumkan nama keluarga dan maktab, malah menjadi inspirasi kepada rakan-rakan serta calon SPM akan datang bahawa kejayaan menuntut kesungguhan, disiplin dan pengorbanan berterusan.
Semoga Siti Nur Arilia Dania terus melakar kecemerlangan pada peringkat lebih tinggi dan menjadi insan berilmu yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Ringkasan AI
- Kejayaan cemerlang diraih Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Siti Nur Arilia Dania Mat Daud yang memperoleh keputusan 9A+
- Merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu
- Pembelajaran berkesan bermula seawal Tingkatan Empat dengan pengukuhan asas yang kukuh
- Anak bongsu daripada 11 beradik itu menasihati calon-calon SPM agar berdisiplin dan mematuhi peraturan maktab
- Kejayaan 9A+ menjadi inspirasi kepada rakan-rakan serta calon SPM akan datang bahawa kejayaan memerlukan kesungguhan, disiplin dan pengorbanan berterusan
