
Peningkatan kes dera di taska & tadika: Keperluan mendesak perkukuh pendidikan awal kanak-kanak
Sejak kebelakangan ini, masyarakat di Malaysia semakin dikejutkan dengan laporan kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di taska dan tadika.
Insiden yang tular di media sosial serta dilaporkan oleh media arus perdana menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ibu bapa. Tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk kanak-kanak belajar dan berkembang kadangkala bertukar menjadi lokasi yang menimbulkan ketakutan.
Walaupun tidak semua pusat asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak berhadapan dengan masalah ini, peningkatan kes yang dilaporkan menunjukkan bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Kanak-kanak pada peringkat awal usia merupakan golongan paling terdedah dan memerlukan perlindungan, kasih sayang serta pendekatan pendidikan yang sesuai dengan perkembangan emosi dan kognitif mereka.
Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 4,469 kes penderaan kanak-kanak direkodkan pada tahun 2023 di Malaysia. Manakala bagi tahun 2024 sehingga Ogos sahaja, sebanyak 2,240 kes telah dilaporkan melibatkan penderaan fizikal, seksual dan emosi.
Spesifiknya pula, laporan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diperoleh dari PDRM, sebanyak 44 kes penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian pada tahun 2020, 24 kes (2021), 74 kes (2022), 98 kes (2023) dan 114 kes pada tahun 2024.
Angka itu jelas menunjukkan bahawa isu penderaan kanak-kanak masih berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia meningkat saban tahun. Walaupun tidak semua kes berlaku di taska atau tadika, sebahagian insiden yang dilaporkan melibatkan pusat jagaan kanak-kanak yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah.
Situasi itu menimbulkan persoalan penting; adakah semua pengusaha dan tenaga pengajar di taska serta tadika mempunyai pengetahuan dan latihan yang mencukupi dalam pendidikan awal kanak-kanak?
Pendidikan awal kanak-kanak bukan sekadar menjaga kanak-kanak sepanjang hari. Ia merupakan satu bidang profesional yang memerlukan kefahaman mendalam tentang perkembangan fizikal, emosi, sosial dan kognitif kanak-kanak.
Tenaga pengajar perlu memahami bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza dan memerlukan pendekatan yang penuh kesabaran serta empati. Antara elemen asas perlu dikuasai oleh tenaga pengajar dan pengasuh ialah pemahaman tentang perkembangan psikologi kanak-kanak, teknik pengurusan tingkah laku yang positif, keselamatan kanak-kanak serta pendekatan pembelajaran berasaskan bermain atau play-based learning.
Selain itu, kemahiran komunikasi dan pengurusan emosi juga sangat penting. Dalam banyak kes penderaan yang dilaporkan, punca utama sering dikaitkan dengan tekanan kerja, kurangnya latihan profesional dan kegagalan mengawal emosi ketika berhadapan dengan kerenah kanak-kanak.
Oleh itu, latihan profesional bagi pengusaha dan tenaga pengajar taska serta tadika perlu diperkasakan. Kursus asas seperti Kursus Asuhan Permata (KAP) yang diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diwajibkan dan dipastikan benar-benar difahami oleh semua pengasuh.
Namun, kursus asas sahaja tidak mencukupi. Latihan lanjutan perlu diberikan secara berkala seperti kursus psikologi kanak-kanak, pengurusan tingkah laku, pertolongan cemas, keselamatan kanak-kanak serta pengurusan emosi.
Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berteraskan nilai murni, elemen agama dan kerohanian juga tidak boleh diketepikan. Nilai seperti kasih sayang, sabar, amanah dan tanggungjawab perlu diterapkan dalam kalangan tenaga pengajar agar mereka dapat menjalankan amanah menjaga kanak-kanak dengan penuh integriti.
Selain latihan dan pembangunan profesional, aspek penguatkuasaan undang-undang juga perlu diperkasakan. Pihak berkuasa perlu memastikan setiap taska dan tadika beroperasi mengikut syarat serta garis panduan yang ditetapkan.
Di samping itu, satu aspek yang sering terlepas pandang ialah kesihatan mental pekerja di pusat asuhan kanak-kanak.
Bekerja dengan kanak-kanak memerlukan tahap kesabaran dan kestabilan emosi yang tinggi. Akhirnya, usaha memastikan keselamatan kanak-kanak di taska dan tadika memerlukan kerjasama semua pihak. Ibu bapa perlu lebih peka dalam memilih pusat asuhan yang berdaftar dan mempunyai tenaga pengajar terlatih.
Jelas, kesemua perkara ini telah dan akan terus dititik beratkan dalam sistem pendidikan kepada semua graduan yang mengambil jurusan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang dijalankan di UCYP University misalnya.
Kanak-kanak merupakan amanah dan aset masa depan negara. Mereka berhak membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang dan selamat. Justeru, memperkukuh profesionalisme dalam pendidikan awal kanak-kanak bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan demi masa depan generasi akan datang.
Maklumat penulis:
Timbalan Naib Canselor (Akademik) UCYP University, Profesor Madya Ts Dr Mohd Hamisa bin Abdul Hamid
- Kes penderaan kanak-kanak di Malaysia menunjukkan peningkatan yang membimbangkan
- Terdapat 4,469 kes penderaan kanak-kanak direkodkan pada tahun 2023 di Malaysia dan peningkatan pada tahun berikutnya
- Pusat asuhan seperti taska dan tadika sepatutnya menjadi tempat selamat namun terlibat dalam beberapa insiden penderaan
- Latihan profesional bagi tenaga pengajar taska dan tadika perlu diperkasakan untuk melindungi kanak-kanak
- Nilai murni, pemantauan kesihatan mental pekerja, dan penguatkuasaan undang-undang merupakan aspek penting dalam menjaga keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan