Datuk Azlan Al Amin membawa Mia ke sebuah pasaraya bagi membeli kelengkapan sekolah termasuk menyediakan yuran pendaftaran sekolah.
Datuk Azlan Al Amin membawa Mia ke sebuah pasaraya bagi membeli kelengkapan sekolah termasuk menyediakan yuran pendaftaran sekolah.

Kanak-kanak tercicir sekolah selama setahun di Kelantan dibantu

NORAFIDAH ASSANNORAFIDAH ASSAN
03 Feb 2026 09:23am

Seorang kanak-kanak perempuan yang sebelum ini tercicir daripada persekolahan akibat kekangan kewangan akhirnya kembali menyambung pelajarannya pada Khamis lalu.

Kisah Siti Ariesya Damia Abdullah yang kini berusia lapan tahun itu dikongsikan Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali atau lebih dikenali Datuk Azlan Al Amin yang tampil membantunya sekali gus memberikan sinar baharu kanak-kanak tersebut.

Mohamad Azlan menjelaskan, Siti Ariesya Damia atau Mia dari Kampung Geting, Tumpat sudah tercicir pendidikan Darjah Satu kerana situasi keluarga dan juga disebabkan kemiskinan.

"Saya telah ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat untuk menguruskan seorang anak kecil dari keluarga miskin yang tercicir persekolahan.

"Mia tinggal bersama ibunya, Siti Sufia Laila dengan dua adiknya yang berusia empat dan 10 bulan di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau kini Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS)

"Mereka tinggal di situ selepas ibunya bercerai dengan bapanya. Rumah berkenaan pula merupakan peninggalan arwah datuk dan neneknya," katanya pada Isnin.

Katanya, sebaik mengetahui keadaan Mia, tindakan lanjut telah dilakukan dengan menguruskan pendaftaran sekolah kanak-kanak itu di PPD Tumpat.

"Kanak-kanak lain yang seusianya sudah dua minggu memasuki alam persekolahan dan alhamdulillah urusan berjaya diselesaikan dengan kerjasama penuh daripada pihak PPD.

"Kelengkapan sekolah dan yuran persekolahannya juga telah diselesaikan, Mia kini sudah meneruskan persekolahannya dalam Darjah Dua di Sekolah Kebangsaan Genting, Tumpat, Kelantan," katanya yang akan terus membantu keluarga berkenaan sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, ibu Mia yang sebelum ini seorang suri rumah, juga telah dibantu bagi menjana pendapatannya dengan memulakan projek ternakan puyuh dan ayam telur.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun kembali ke sekolah setelah tercicir akibat kekangan kewangan
  • Datuk Mohamad Azlan Abdullah membantu Siti Ariesya Damia kembali menyambung pelajaran
  • Keluarga Siti Ariesya Damia tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin selepas ibunya bercerai
  • Pendaftaran sekolah dan kelengkapan persekolahan Siti Ariesya Damia disediakan oleh Datuk Mohamad Azlan
  • Ibu Siti Ariesya Damia dibantu untuk menjana pendapatan melalui projek ternakan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp