Smart Food boleh digambarkan sebagai makanan yang 'ada akal', iaitu bukan sekadar sedap dan mengenyangkan tetapi berkhasiat, selamat dimakan, mudah disimpan serta tidak mendorong kepada pembaziran. Foto: Canva
Smart Food boleh digambarkan sebagai makanan yang 'ada akal', iaitu bukan sekadar sedap dan mengenyangkan tetapi berkhasiat, selamat dimakan, mudah disimpan serta tidak mendorong kepada pembaziran. Foto: Canva

'Smart Food' bantu kurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan

17 Mar 2026 04:34pm

Amalan membeli makanan secara berlebihan di bazar Ramadan sering menjadi punca pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat, sedangkan bulan puasa sepatutnya mendidik nilai kesederhanaan serta pengurusan perbelanjaan yang lebih berhemah.

Seiring peningkatan penyediaan juadah sahur dan berbuka, konsep Smart Food dilihat semakin relevan sebagai pendekatan bagi membantu pengguna merancang pemilihan serta penyimpanan makanan dengan lebih sistematik sekali gus mengurangkan pembaziran. 

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Rezza Zainal Abidin berkata,  konsep Smart Food menekankan pendekatan strategik dalam memilih makanan berkhasiat, menyimpan dengan betul serta mengurus bekalan makanan secara berkesan sepanjang tempoh berpuasa.

"Smart Food boleh digambarkan sebagai makanan yang 'ada akal', iaitu bukan sekadar sedap dan mengenyangkan tetapi berkhasiat, selamat dimakan, mudah disimpan serta tidak mendorong kepada pembaziran.

"Kita berpuasa antara 13 hingga 14 jam sehari, jadi makanan yang dipilih perlu mampu memberikan tenaga berpanjangan, bukan sekadar memberi tenaga seketika sebelum badan kembali letih," katanya.

Foto: Canva
Foto: Canva

Menurut beliau, pemilihan makanan yang tepat ketika berpuasa amat penting untuk memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang hari.

"Pengambilan kurma dapat membekalkan tenaga segera ketika berbuka, manakala makanan seperti kekacang dan bijirin yang tinggi serat membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama serta menyokong keseimbangan tenaga sehingga waktu sahur dan keesokan harinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pengurusan makanan, beliau berkata, budaya membeli makanan secara berlebihan di bazar Ramadan sering menyebabkan lebihan makanan akhirnya dibuang kerana tidak disimpan dengan betul.

"Setiap makanan menggunakan sumber seperti air, tenaga serta kos pengangkutan untuk dihasilkan. Apabila makanan dibuang, kita sebenarnya membazirkan semua sumber tersebut sekali," katanya.

Dr Muhammad Rezza berkata, teknik penyimpanan makanan yang betul dapat memanjangkan jangka hayat makanan serta mengurangkan risiko pencemaran dan keracunan makanan di rumah.

"Terdapat tiga perkara asas yang perlu diberi perhatian dalam penyimpanan makanan iaitu memeriksa label dan tarikh luput, menggunakan bekas makanan kedap udara serta memastikan suhu peti sejuk sekitar 4°C dan suhu pembeku sekitar -18°C," katanya.

Foto: Canva
Foto: Canva

Bagi makanan kering seperti bijirin dan kurma pula, beliau menasihatkan supaya ia disimpan di tempat yang sejuk dan gelap bagi mengelakkan kerosakan lebih awal.

Selain itu, penyusunan makanan di dalam peti sejuk juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan pencemaran silang.

"Makanan yang telah dimasak perlu diletakkan di bahagian atas peti sejuk, manakala daging, ayam dan ikan mentah disimpan di bahagian bawah dalam bekas bertutup," katanya.

Beliau berkata, penyusunan makanan secara sistematik bukan sahaja membantu mengekalkan kesegaran makanan malah berpotensi memanjangkan jangka hayat makanan sehingga dua kali ganda serta mengurangkan risiko keracunan makanan.

"Konsep Smart Food juga dapat membentuk tabiat pembelian yang lebih berhemah apabila pengguna membeli makanan berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut keinginan semata-mata.

"Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi peluang untuk membentuk disiplin dalam pengurusan makanan agar lebih bertanggungjawab demi kesejahteraan diri dan alam sekitar," katanya.

Penulis: Husnina Zahra Hadri

 

 

Ringkasan AI

  • Amalan membeli makanan berlebihan di bazar Ramadan menyebabkan pembaziran makanan
  • Konsep "Smart Food" membantu merancang pemilihan dan penyimpanan makanan dengan lebih sistematik untuk mengurangkan pembaziran
  • Smart Food menekankan pemilihan makanan berkhasiat, penyimpanan yang betul, dan pengurusan bekalan makanan secara berkesan semasa berpuasa
  • Teknik penyimpanan yang betul dapat memanjangkan jangka hayat makanan dan mengurangkan risiko pencemaran serta keracunan makanan
  • Konsep Smart Food membentuk tabiat pembelian yang lebih berhemah dan menggalakkan pengurusan makanan yang bertanggungjawab demi kesejahteraan alam sekitar
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp