Gambar hiasan
Gambar hiasan

Menang Ramadan, raya bersederhana dalam dunia bergolak

19 Mar 2026 10:42am

Bulan Ramadan merupakan anugerah istimewa yang menjadi medan terbaik untuk umat Islam memperkukuh iman, mendidik jiwa serta membentuk disiplin diri melalui ibadah seperti berpuasa, solat tarawih, membaca al-Quran dan bersedekah.

Lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga, Ramadan mengajar erti kesabaran, keinsafan serta kesederhanaan dalam kehidupan seharian.

Ia juga menjadi ruang untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan diri serta meningkatkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Dalam suasana penuh keberkatan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan kebaikan dan menghindari pembaziran, selari dengan tuntutan agama yang menekankan keseimbangan dalam kehidupan.

Nilai kesederhanaan yang dipupuk sepanjang Ramadan seharusnya terus dibawa dan diamalkan dalam kehidupan selepas berakhirnya bulan yang mulia ini.

Apabila Ramadan melabuhkan tirainya, Aidilfitri disambut sebagai simbol kemenangan selepas sebulan mengekang hawa nafsu dan meningkatkan ketakwaan.

Namun, dalam realiti dunia hari ini yang sedang bergolak dengan pelbagai krisis global, konflik antarabangsa serta ketidaktentuan ekonomi, sambutan Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kesederhanaan dan kebijaksanaan.

Kenaikan harga barang keperluan asas, kos sara hidup yang semakin meningkat serta tekanan ekonomi yang dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat menuntut setiap individu untuk lebih berhati-hati dalam mengurus perbelanjaan.

Dalam suasana ini, amalan berjimat cermat bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Persiapan Aidilfitri seperti pembelian pakaian baharu, juadah hari raya dan hiasan rumah perlu dirancang dengan teliti agar tidak membebankan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat perlu mengelakkan sikap berbelanja secara berlebihan atau mengikut trend semata-mata sehingga sanggup berhutang. Sebaliknya, keutamaan harus diberikan kepada keperluan asas serta kesejahteraan keluarga dalam jangka panjang.

Sikap sederhana dalam berbelanja bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan, malah mencerminkan nilai murni yang diajar sepanjang Ramadan.

Dalam pada itu, tradisi Aidilfitri seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan berkongsi rezeki perlu diteruskan.

Kegembiraan menyambut hari raya tidak terletak pada kemewahan, tetapi pada keikhlasan dan kebersamaan yang terjalin antara keluarga, sahabat handai dan masyarakat.

Rumah terbuka boleh dilaksanakan secara sederhana tanpa pembaziran, manakala pemberian duit raya dan juadah boleh disesuaikan mengikut kemampuan masing-masing.

Apa yang lebih penting ialah semangat memberi dan berkongsi yang mampu menceriakan mereka yang kurang berkemampuan.

Selain itu, dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran ini, nilai keprihatinan terhadap golongan yang terkesan dengan kenaikan harga barang perlu diperkukuhkan.

Umat Islam digalakkan untuk terus bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan, kerana di situlah letaknya keberkatan dalam setiap rezeki yang dikurniakan.

Bantuan dalam bentuk kewangan, makanan atau sokongan moral mampu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik, sekali gus menjadikan Aidilfitri lebih bermakna.

Kesimpulannya, kemenangan Aidilfitri bukan sekadar diraikan dengan kemeriahan, tetapi perlu disertai dengan penghayatan nilai kesederhanaan dan kesyukuran yang dipelajari sepanjang Ramadan.

Dalam dunia yang bergolak dan ketidaktentuan ini, amalan berjimat cermat, perancangan kewangan yang bijak serta sikap saling membantu menjadi kunci kepada kesejahteraan bersama.

Semoga semangat Ramadan terus kekal dalam diri setiap individu dan Aidilfitri disambut dengan penuh makna, sederhana serta diberkati.

Maklumat penulis:

Penolong Pendaftar Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Rozita Alias@Abdul Latiff

Ringkasan AI
  • Bulan Ramadan adalah masa untuk memperkukuh iman dan mendidik jiwa melalui ibadah seperti berpuasa dan solat tarawih
  • Ramadan mengajar erti kesabaran dan kesederhanaan serta menggalakkan muhasabah diri
  • Ketika sambutan Aidilfitri, umat Islam diingatkan untuk berbelanja secara sederhana dan berhati-hati dalam pengurusan kewangan
  • Amalan berjimat cermat dan mengelak pembaziran ketika Aidilfitri mencerminkan nilai yang diajar sepanjang Ramadan
  • Tradisi Aidilfitri seperti ziarah-menziarahi dan berkongsi rezeki harus diteruskan dengan semangat kesederhanaan dan keikhlasan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan