Program HerbTalk: Folk Wisdom with Science
Program HerbTalk: Folk Wisdom with Science

Dari tradisi ke inovasi: Penerokaan saintifik terhadap rawatan herba warisan tradisi

30 Mar 2026 04:06pm

Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada negara megadiversiti dan merupakan negara ke-12 tertinggi dunia dalam Index Biodiversiti Nasional, menjadi kebanggaan di persada antarabangsa.

Berkat kekayaan biodiversiti, terdapat banyak pengetahuan tradisi, khususnya rawatan herba yang pernah diamalkan oleh masyarakat Orang Asli dan Melayu pada zaman dahulu.

Herba-herba dalam Malaysia sering digunakan untuk kegunaan perubatan seperti kembung perut, darah tinggi, kencing manis, jangkitan kulit, meningkatkan tenaga dan sebagainya.

Namun, tiada bukti kukuh bahawa herba tersebut adalah selamat digunakan atau berkesan seperti mana yang dikatakan, sehingga pengetahuan tradisi itu diintegrasi dengan ilmu saintifik.

Oleh hal yang demikian, sebuah forum peringkat kebangsaan iaitu Herbtalk: Folk Wisdom with Science anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama persatuan-persatuan dalam UPSI dan beberapa institusi pendidikan tempatan awam di Malaysia telah berjaya menarik lebih 1100 peserta dari seluruh Malaysia dalam sesi maya yang berlangsung di Google Meet dan siaran langsung Facebook.

Program ini menampilkan dua orang panel yang merupakan pakar dalam bidang rawatan herba tradisional iaitu Dr Fadzureena Jamaludin, Ketua Program Sumber Biologi, Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Dr Sujatha Ramasamy, Pensyarah Kanan, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) yang berkongsi kepakaran dalam bidang rawatan herba tradisional.

Sesi forum tersebut memberi peluang kepada peserta untuk memahami bagaimana ilmu saintifik yang berkaitan mampu mengukuhkan serta menyokong pengetahuan dalam rawatan herba termasuk kajian makmal yang selalu dilakukan oleh para penyelidik dan klasifikasi spesis.

Turut dibincangkan berkenaan produk-produk herba di pasaran dari segi keberkesanan untuk bentuk-bentuk produk berbeza seperti makanan, produk tradisional dan ubat terapeutik serta cara mengenal pasti produk herba semula jadi yang selamat digunakan di pasaran.

Dr Fadzureena juga berkongsi produk hasil kajian pasukan beliau iaitu GouTree, produk anti gout daripada pokok cucur atap.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkongsi proses pasukan beliau dalam penyelidikan tersebut daripada fasa awal melakukan pengekstrakan sehingga fasa akhir menghasilkan produk semula jadi berasaskan pokok cucur atap serta proses-proses pensijilan sekali gus menunjukkan bahawa terdapat potensi pasaran bagi produk berasaskan herba tradisional.

Program ini berakhir dengan sesi soal jawab yang bertenaga, diikuti dengan ucapan penutupan.

Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk bertanya soalan berkenaan potensi herba tradisional daripada pelbagai aspek seperti penanaman herba secara besar-besaran, pengiktirafan serta peranan generasi muda dalam mewariskan ilmu-ilmu tradisional berkenaan herba tradisional.

Program ini turut dihadiri oleh ChM. Dr Siti Nur Akmar Mohd Yazid, Penasihat Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), UPSI merangkap Penasihat Program ChM. Dr Siti Nur Akmar menyatakan sokongan beliau dan menegaskan pentingnya program seperti ini dilaksanakan untuk mengenali potensi herba tradisional sebagai alternatif atau pelengkap kepada rawatan ubatan moden pada masa hadapan, sejajar dengan perkembangan bidang sains kesihatan dan farmaseutikal negara.

Secara keseluruhannya, HerbTalk: Folk Wisdom with Science telah menjadi platform yang sangat berharga dalam menghubungkan masyarakat Malaysia dengan perspektif dan peluang dalam bidang rawatan herba tradisional yang merupakan warisan nenek moyang kita.

Diharapkan agar dapat memberi inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda, agar dapat menghayati warisan herba tradisional tersebut serta memanfaatkan kekayaan biodiversiti Malaysia.

Maklumat penulis:

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Chin Khai Xian

Ringkasan AI
  • Malaysia diiktiraf sebagai negara megadiversiti dan ke-12 tertinggi dalam Index Biodiversiti Nasional.
  • Herba tradisional Malaysia digunakan dalam perubatan namun memerlukan integrasi dengan ilmu saintifik.
  • Forum Herbtalk melibatkan lebih 1100 peserta membincangkan ilmu saintifik dalam rawatan herba.
  • Forum menonjolkan produk herba seperti GouTree dan perhatian terhadap keberkesanan serta keselamatan produk.
  • Forum ini bertindak sebagai platform menghubungkan perspektif masyarakat terhadap rawatan herba tradisional.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp