Selain memberi peluang menikmati keindahan alam, kayak juga sering dijadikan sebahagian daripada program kokurikulum, aktiviti kepimpinan pelajar, kem bina diri serta program pendidikan luar. Foto: Canva
Selain memberi peluang menikmati keindahan alam, kayak juga sering dijadikan sebahagian daripada program kokurikulum, aktiviti kepimpinan pelajar, kem bina diri serta program pendidikan luar. Foto: Canva

Kayak aktiviti rekreasi popular, namun jangan pandang remeh aspek keselamatan!

06 Apr 2026 12:54pm

Tragedi lemas yang membabitkan dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis pada petang Sabtu mengejutkan ramai pihak.

Mereka dilaporkan sedang melakukan aktiviti kayak di Pantai Merdeka kira-kira jam 5 petang sebelum ditemui tersangkut di bawah pukat sekitar jam 7.30 malam pada hari yang sama.

Insiden menyayat hati itu sekali gus mengingatkan masyarakat bahawa aktiviti rekreasi air, walaupun kelihatan santai dan menyeronokkan, tetap mempunyai risiko jika aspek keselamatan tidak diberi perhatian sewajarnya.

Sehubungan itu, Sinar Bestari ingin berkongsi secara ringkas mengenai aktiviti kayak yang sering dilakukan oleh komuniti, khususnya dalam kalangan pelajar dan pencinta aktiviti luar.

Aktiviti rekreasi yang semakin popular

Kayak bukanlah aktiviti baharu. Malah, ia telah lama menjadi antara aktiviti rekreasi air yang popular di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Aktiviti ini biasanya dilakukan di sungai, tasik atau kawasan pantai dengan menggunakan bot kecil yang digerakkan menggunakan pendayung.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, aktiviti kayak semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar sekolah, penuntut universiti dan komuniti pencinta alam semula jadi.

Selain memberi peluang menikmati keindahan alam, kayak juga sering dijadikan sebahagian daripada program kokurikulum, aktiviti kepimpinan pelajar, kem bina diri serta program pendidikan luar.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti ini juga dipercayai mampu meningkatkan kecergasan fizikal, membina semangat berpasukan dan menguji ketahanan mental peserta.

Tip keselamatan sebelum berkayak

Walaupun kelihatan mudah, aktiviti kayak sebenarnya memerlukan pengetahuan asas serta pematuhan kepada beberapa langkah keselamatan.

Bagi mereka yang ingin menyertai aktiviti ini sama ada sebagai peserta program, pelajar atau rekreasi santai, beberapa perkara penting perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Antara tip keselamatan yang disarankan ialah:

1) Memakai jaket keselamatan

Jaket keselamatan atau life jacket adalah peralatan wajib ketika berkayak bagi mengurangkan risiko lemas sekiranya berlaku kemalangan.

2) Mendapatkan taklimat keselamatan

Peserta digalakkan mengikuti taklimat keselamatan serta mempelajari teknik asas mengendalikan kayak sebelum memulakan aktiviti.

3) Berkayak secara berkumpulan

Elakkan berkayak bersendirian terutama di kawasan yang kurang dikenali. Aktiviti secara berkumpulan memudahkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

4) Memantau keadaan cuaca dan air

Keadaan cuaca, arus air serta ombak perlu diperiksa terlebih dahulu kerana faktor ini boleh mempengaruhi tahap keselamatan peserta.

5) Mengikuti arahan jurulatih atau pengiring

Peserta perlu sentiasa mematuhi arahan jurulatih atau penyelia aktiviti yang berpengalaman.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp