
Langkah proaktif KPM, 300 MyPWA perkasa sekolah berasrama
Bermula 1 April 2026, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif apabila melantik seramai 300 Personel MySTEP Pembantu Warden Asrama (MyPWA) untuk ditempatkan di sekolah-sekolah berasrama di seluruh negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, MyPWA diperkenalkan sebagai usaha memperkukuh tahap keselamatan di sekolah berasrama selain membantu mengurangkan beban tugas guru yang sedia ada.
“MyPWA berperanan membantu warden khususnya dalam pemantauan waktu malam, bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid asrama sentiasa terpelihara.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan terus diperluaskan sebagai salah satu ikhtiar yang selari dengan agenda reformasi keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaan KPM,” katanya.
Pada masa sama, ia turut menepati aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang menekankan keperluan guru mata pelajaran untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP).
