
UPSI menerajui kebitaraan pendidikan di bawah kepimpinan proaktif
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melangkah ke tahun 2026 dengan kelebihan strategik yang signifikan, hasil kesinambungan kepimpinan, kejelasan hala tuju serta keupayaan pelaksanaan yang telah dibuktikan sepanjang tahun 2025.
Kekuatan ini meletakkan UPSI dalam kedudukan yang stabil untuk terus memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai universiti pendidikan utama negara, malah sebagai institusi rujukan antarabangsa dalam bidang pendidikan dan pembangunan bakat pendidik.
Tahun 2025 boleh disifatkan sebagai tahun pemantapan prestasi dan keberhasilan, manakala tahun 2026 pula menjadi fasa penjajaran aspirasi besar institusi dengan dasar nasional, negeri dan global melalui tema Peneraju Kebitaraan Pendidikan.
Aspirasi ini disokong oleh pencapaian UPSI berada dalam kelompok kedudukan 101–125 dunia bagi bidang Education Studies dalam THE World University Rankings 2026, sekali gus mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kekuatan ekosistem pendidikan UPSI merangkumi latihan guru, penyelidikan pendidikan, inovasi kurikulum serta keterlibatan komuniti dan industri.
Lebih penting, pencapaian tersebut menjadi asas kukuh kepada sasaran strategik UPSI untuk menempatkan diri dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam bidang pendidikan menjelang tahun 2030.
Sasaran ini bersifat realistik dan berasaskan prestasi, menandakan peralihan UPSI daripada fasa pengiktirafan kepada fasa kepimpinan dalam landskap pendidikan global.
Aspirasi UPSI 2026 turut selari dengan pengumuman dasar besar negara melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Rancangan ini menandakan perubahan pendekatan pendidikan tinggi negara ke arah keadilan sosial, pembinaan negara dan keterangkuman.
UPSI menyepadukan komponen utama RPTM termasuk jaminan akses pendidikan tinggi, pendidikan percuma kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga miskin tegar, peluasan akses pengajian serta pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sebagai universiti pendidikan, UPSI memainkan peranan strategik dalam pembangunan guru masa hadapan yang seimbang dari segi ilmu, nilai dan kemanusiaan, termasuk pemerkasaan Subjek Mata Pelajaran Umum (MPU).
Hala tuju ini diperkukuh melalui tujuh Tujahan Tahun 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi yang menekankan kemenjadian siswa, tadbir urus tangkas serta penggunaan kecerdasan buatan sebagai pemangkin transformasi pendidikan tinggi.
UPSI turut berperanan sebagai institusi sauh bagi pembangunan Negeri Perak, khususnya daerah Muallim, melalui pelbagai projek komuniti, edu-pelancongan kampus, program Kampung Angkat MADANI dan kolaborasi strategik dengan agensi negeri.
Pendekatan ini menjadikan UPSI bukan sekadar institusi akademik, sebaliknya pemangkin pembangunan sosioekonomi wilayah.
Dari sudut pengurusan bakat, UPSI melaksanakan penstrukturan semula secara sistemik melalui tujuh inisiatif bakat unggul yang memperkenalkan Model Warga UPSI | BITARA.
Pelaksanaan skim perkhidmatan, sistem pengambilan staf, pengukuhan kepakaran serta kenaikan pangkat berasaskan Indeks Produktiviti Akademia menandakan peralihan pengurusan sumber manusia berfokuskan prestasi dan impak.
Dalam bidang penyelidikan dan inovasi, UPSI melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk penubuhan pusat kecemerlangan, kumpulan minat khas, kolaborasi industri serta projek komuniti berimpak tinggi.
Usaha ini diperkukuh melalui agenda Industry on Campus, jaringan antarabangsa dan pelaksanaan Research Booster Initiatives yang menyokong pendanaan alternatif, penyelidikan berfokuskan AI serta pembangunan bakat penyelidik pasca-doktoral.
Agenda pendigitalan dan kecerdasan buatan pula digerakkan melalui inisiatif AI4ALL yang memastikan pemanfaatan AI secara inklusif oleh warga universiti.
Pembangunan infrastruktur digital, keselamatan siber dan platform ekonomi mikro pelajar menyokong ekosistem pembelajaran dan tadbir urus berasaskan data.
Pembangunan mahasiswa kekal sebagai teras aspirasi UPSI melalui pengurusan bakat pelajar, pemerkasaan adab, kebajikan dan kesejahteraan.
Inisiatif seperti Program Latihan Khidmat Negara 3.0, Dapur Siswa MADANI, inovasi pelajar serta sistem kesejahteraan pelajar menunjukkan pendekatan holistik dalam membangunkan generasi pendidik masa hadapan.
Bagi memastikan kelestarian institusi, UPSI menetapkan sasaran penjanaan pendapatan berasaskan inisiatif akademik dan bukan akademik, di samping mengoptimumkan penjimatan operasi melalui penggunaan tenaga boleh baharu, kawalan perolehan dan pengurusan aset.
Usaha ini dilaksanakan selari dengan penambahbaikan kebajikan staf. Aspirasi UPSI 2026 turut menekankan pengiktirafan global melalui pensijilan, jaringan profesional antarabangsa dan penganjuran acara pendidikan bertaraf dunia.
Di samping itu, agenda pengantarabangsaan diperkukuh melalui peningkatan pelajar antarabangsa, laluan pendidikan fleksibel serta adaptasi pedagogi global.
Transformasi institusi ini disokong oleh pembangunan prasarana kampus yang menyeluruh merangkumi fasiliti akademik, kediaman, sukan, budaya dan komuniti.
Pelaksanaan projek pembangunan kampus jangka sederhana dan panjang mencerminkan kesediaan UPSI menyokong agenda nasional serta keperluan masa hadapan.
Walaupun berdepan cabaran dalaman, UPSI menekankan pembinaan Jiwa UPSI yang berteraskan nilai ketaqwaan, keinsanan, kekeluargaan, kecemerlangan dan jiwa pendidik. Pendekatan berasaskan nilai ini memastikan transformasi institusi digerakkan secara menyeluruh dan berpasukan.
Secara keseluruhannya, UPSI memperlihatkan model transformasi universiti yang seimbang antara prestasi global, pembangunan manusia berasaskan nilai serta pembinaan prasarana masa hadapan.
Prestasi 2025 membuktikan keupayaan pelaksanaan institusi, manakala Aspirasi UPSI 2026 mencerminkan keberanian untuk memimpin perubahan pendidikan di peringkat nasional dan serantau.
Maklumat penulis:
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dato' Dr Amin Md Taff
Ringkasan AI
- UPSI melangkah ke tahun 2026 dengan kelebihan strategik sebagai universiti pendidikan utama negara dan institusi rujukan antarabangsa
- Tahun 2025 merupakan tahun pemantapan prestasi UPSI dan tahun 2026 adalah fasa penjajaran aspirasi institusi dengan dasar nasional dan global
- UPSI berada dalam kelompok kedudukan 101–125 dunia bagi bidang Education Studies dalam THE World University Rankings 2026
- Aspirasi UPSI 2026 selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menekankan keadilan sosial, pembinaan negara dan keterangkuman
- UPSI memainkan peranan strategik dalam pembangunan guru masa depan dan melaksanakan inisiatif untuk pengurusan bakat serta penyelidikan dan inovasi