
Belajar hari ini, kuasai lautan esok!
Dari bilik kuliah ke dek kapal, pengalaman sebenar bina pelayar masa depan berdaya saing global
Bukan semua institusi punyai laluan berbeza, namun Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) tampil dengan identiti tersendiri apabila memfokuskan sepenuhnya bidang maritim.
Satu sektor yang jarang diterokai, namun sarat dengan potensi masa hadapan.
Dahulunya dikenali sebagai Politeknik Bagan Datuk,institusi ini melangkah lebih jauh sebagai pusat kecemerlangan yang memberi tumpuan kepada bidang maritim.
Di sinilah lahirnya generasi pelajar yang bukan sahaja mempelajari teori tetapi dibentuk dengan kemahiran teknikal dan pemikiran kritikal selari keperluan industri.
Daripada kejuruteraan marin hingga teknologi perkapalan, setiap program dirangka bagi memastikan pelajar benar bersedia menghadapi dunia sebenar yang mencabar dan dinamik.
Lebih menarik, pendekatan pembelajaran menekankan pengalaman praktikal menjadikan PMSN bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi medan latihan mencorak masa depan.
Maritim, rasai dunia sebenar
Walaupun masih baharu, PMSN tampil dengan kemudahan lengkap dan setanding keperluan industri sebenar.
Pensyarah, Ts Erman Hakimin Othman berkata, pelajar tidak hanya belajar di kelas tetapi berpeluang berdepan dengan peralatan sebenar seperti enjin kapal, boiler dan motor elektrik.

Secara tidak langsung, ia memberi gambaran jelas bagaimana dunia maritim beroperasi.
“Paling mencuri perhatian ialah kewujudan bilik simulator khas yang membawa pengalaman pembelajaran ke tahap berbeza. Melalui teknologi ini, pelajar merasai sendiri situasi kritikal seperti kebakaran atau banjir dalam enjin kapal,” katanya dalam rakaman podcast Bual Bestari baru-baru ini.
Menariknya, simulasi yang digunakan juga fleksibel, membolehkan pelajar memilih pelbagai jenis kapal seperti kapal pelayaran, kapal tentera atau kapal kontena, lengkap situasi berbeza.
“Selari perubahan zaman, pengenalan Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin mencerminkan keperluan industri moden yang semakin bergantung kepada teknologi elektrik.
Asah pengalaman, tembus dunia!
Sektor maritim yang semakin kompetitif, pengalaman bukan lagi satu kelebihan tetapi keperluan.
Itulah realiti yang dikongsikan Erman Hakimin dalam membentuk pelajar bukan sekadar berilmu, namun bersedia menghadapi industri sebenar.
Katanya, langkah terbaik bagi graduan ialah memulakan kerjaya dalam negara terlebih dahulu.
“Bukan kerana peluang di luar tidak menarik, tetapi kerana setiap individu yang melangkah ke pentas antarabangsa sebenarnya membawa bersama nama Malaysia.
“Prestasi yang ditunjukkan bukan hanya mencerminkan diri sendiri, malah memberi gambaran terhadap keupayaan tenaga kerja negara secara keseluruhan,” ujarnya.
Hakikatnya, tenaga kerja Malaysia bidang maritim masih menjadi buruan syarikat luar.
Beliau mengakui rekod prestasi yang baik menjadikan mereka antara pilihan utama global.
Bagaimanapun, situasi ini turut memberi kesan kepada industri tempatan apabila tenaga mahir berpengalaman mula berhijrah ke luar negara.
“Ketika ini, landskap industri maritim tempatan menunjukkan keseimbangan antara tenaga kerja tempatan dan warga asing, masing-masing sekitar 50 peratus. Kekurangan tenaga mahir tempatan menyebabkan keperluan untuk mengimport pekerja asing masih tinggi," katanya.
Justeru, pengalaman di peringkat awal bukan sahaja penting untuk kerjaya individu, tetapi kunci memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri maritim global.
