
'Pilih jalan mencabar demi impian besar'
Bidang maritim bukan sekadar tentang pelayaran di lautan luas tetapi membuka laluan kerjaya semakin relevan dalam dunia moden.
Bagi pelajar Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin, Politeknik Marin Sultan Nazrin Shah (PMSN), Nik Muhammad Daniel Shah Nik Abdul Halim, keputusan itu bukan sahaja tepat, malah strategik dalam membina masa depan.
Katanya, kursus yang diikuti menawarkan peluang kerjaya yang luas, merangkumi sektor darat dan juga maritim.
“Kemahiran yang dipelajari tidak terhad kepada operasi di atas kapal semata-mata, sebaliknya boleh diaplikasikan dalam industri berkaitan seperti penyelenggaraan sistem elektrik, tenaga dan kejuruteraan,” katanya kepada Sinar Bestari.
Lebih menarik, Nik Muhammad Daniel Shah, 20, memaklumkan bahawa Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin satu-satunya program ditawarkan di institusi pengajian tinggi itu.
“Keunikan ini memberi kelebihan kepada pelajar meneroka bidang yang masih kurang diceburi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri.
“Di PMSN, pengalaman pembelajaran turut diperkasa dengan penggunaan simulator kapal yang menyerupai situasi sebenar di laut.
“Kemudahan ini menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif dan mendalam, seolah-olah pelajar berada di persekitaran sebenar atas kapal,” ujarnya lagi.
Melalui simulator itu, para pelajar bidang ini berpeluang mengaplikasikan situasi kecemasan di atas kapal, termasuk mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kegagalan sistem.

Pilih bidang jarang diterokai
Memilih laluan yang jarang dilalui bukan halangan, sebaliknya satu kelebihan bagi Nik Muhammad Daniel Shah.
Keputusan dibuat atas keyakinan bahawa pembelajaran di PMSN unik dan menawarkan keistimewaan tersendiri bagi sektor kejuruteraan.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang ini berkata, tarikan utama pemilihan kos berkenaan disebabkan konsep pembelajaran di PMSN menekankan kemahiran praktikal.
Walaupun terdapat beberapa kursus maritim lain, Nik Muhammad Daniel Shah akui program Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin paling menarik minatnya melalui pendekatan hands-on sistem elektrik kapal.
“Kursus ini bertindak sebagai penghubung antara darat dan laut. Kami bukan sahaja berpeluang bekerja di atas kapal, malah boleh meneroka kerjaya teknikal di darat.
“Fleksibiliti ini menjadikan pilihan itu lebih relevan dan berpotensi tinggi dalam pasaran kerja,” katanya lagi.
Sebagai kumpulan pertama bagi program ini, Nik Muhammad Daniel Shah mengakui dia dan rakan-rakan seperjuangan perlu berdikari tanpa rujukan senior.
“Banyak perkara perlu dipelajari sendiri dengan bantuan pensyarah, apatah lagi subjek yang ditawarkan bersifat teknikal dan memerlukan pemahaman mendalam.

Impi ketua operasi kapal
Bermula dengan langkah kecil, impian besar menjadi pemacu semangat Nik Muhammad Daniel Shah dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin.
Impian dan cita-citanya jelas iaitu menjejakkan kaki di atas kapal besar serta memegang jawatan penting sebagai ketua dalam operasi kapal.
“Berada dalam industri maritim sahaja tidak mencukupi. Saya mahu muncul sebagai individu berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mempunyai tanggungjawab besar, terutama mengendalikan sistem elektrik marin yang menjadi nadi operasi kapal moden.
“Perjalanan ke arah itu bukan mudah. Segalanya perlu bermula dari bawah, pengalaman demi pengalaman, sambil terus memperkukuh kemahiran teknikal dan pengetahuan dalam bidang yang diceburi.
“Setiap cabaran dilihat sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki diri,” kongsinya.
Dengan keazaman yang tinggi serta usaha yang konsisten, Nik Muhammad Daniel Shah percaya impian tersebut bukan sesuatu yang mustahil.
