
Aspek keselamatan sekolah ditingkatkan, garis panduan sedia ada ditambah baik - KPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengingatkan semua sekolah di bawah seliaannya agar terus mematuhi Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
Dalam kenyataan media pada Rabu, KPM memaklumkan bahawa garis panduan baharu turut sedang dimuktamadkan dengan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.
"KPM turut mendapatkan pandangan pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi menambah baik tatacara keselamatan dan penggunaan kenderaan di sekolah.
"Semua pentadbir sekolah diminta untuk sentiasa memberi peringatan tentang keselamatan penggunaan kenderaan dalam kawasan sekolah.
"Sekolah perlu dipastikan menjadi ruang paling selamat untuk murid, guru dan seluruh warganya," menurut kenyataan itu.
Tambah KPM, penambahbaikan ini juga dibuat susulan beberapa kejadian kemalangan yang berlaku di sekolah baru-baru ini, yang menjadi isyarat jelas terhadap keperluan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di institusi pendidikan.