Norman (tiga dari kanan) bersama wakil-wakil sokongan strategik dalam pelaksanaan program AKAR 2026 baru-baru ini.
Norman (tiga dari kanan) bersama wakil-wakil sokongan strategik dalam pelaksanaan program AKAR 2026 baru-baru ini.

Yayasan KRU cungkil bakat kreatif anak Malaysia menerusi AKAR 2026

07 May 2026 11:09am

Yayasan KRU terus melakar langkah besar dalam memperkasa generasi muda apabila mengumumkan pelaksanaan program baharu berimpak tinggi, Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026.

AKAR hadir sebagai sebuah inisiatif nasional yang bertujuan mencungkil, membimbing dan memperkasa bakat kreatif anak-anak Malaysia secara menyeluruh, sekali gus membina generasi yang lebih inovatif, berdaya saing dan peka terhadap isu semasa.

Lebih menarik, program ini turut mendapat sokongan strategik daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Sebagai langkah permulaan, AKAR 2026 akan memberi tumpuan kepada pelajar prasekolah dan sekolah rendah menerusi pertandingan melukis dan mewarna bertemakan pemeliharaan alam sekitar.

Inisiatif akar umbi ini bukan sahaja membuka ruang kepada kanak-kanak mengekspresikan kreativiti mereka, malah menjadi platform awal untuk menyemai kesedaran tentang pentingnya menjaga kelestarian bumi demi masa depan generasi akan datang.

Menurut Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, AKAR diwujudkan sebagai platform nasional untuk membudayakan kreativiti dan inovasi sejak usia muda.

"Melalui pendekatan inklusif ini, kami bukan sahaja ingin mencungkil bakat, tetapi juga membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab, berdaya saing dan peka terhadap isu global seperti pemeliharaan alam sekitar," katanya dalam kenyataan media.

Norman
Norman

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa Yayasan KRU menyasarkan peluasan program ini ke peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membangunkan ekosistem pembangunan bakat kreatif yang lebih holistik dan berterusan.

Sementara itu, salah satu elemen utama AKAR 2026 ialah kerjasama strategik bersama PTPTN sebagai rakan utama siri jelajah AKAR ke 40 sekolah di seluruh negara sepanjang Jun dan Julai 2026.

Menerusi kolaborasi itu, hadiah kepada para pemenang akan disalurkan dalam bentuk simpanan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), selain trofi dan sijil penghargaan.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada bakat yang diketengahkan, malah menggalakkan budaya menabung dalam kalangan ibu bapa demi perancangan pendidikan jangka panjang anak-anak.

Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Yayasan KRU dalam menjayakan AKAR 2026.

"Ini adalah satu inisiatif yang bukan sahaja membantu pelajar menggapai impian masa depan, malah membentuk nilai yang mengakar kukuh dalam diri mereka.

Norliza
Norliza

"Melalui Simpan SSPN, kami terus komited memupuk budaya menabung sejak awal, selari dengan usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, tetapi juga peka terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar.

"Kami percaya, dengan pendekatan yang menyeluruh ini, setiap langkah kecil hari ini akan memberi impak besar kepada kelestarian masa depan pendidikan dan kesejahteraan bumi untuk generasi akan datang," katanya.

Terdahulu, Yayasan KRU turut melancarkan logo rasmi AKAR bersama slogan penuh makna, 'Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi'. 

Melalui AKAR 2026, Yayasan KRU komited untuk mewujudkan sebuah platform berimpak tinggi yang bukan sahaja mengangkat potensi kreatif generasi muda, malah membantu membina masyarakat yang lebih progresif, berilmu dan berdaya tahan.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp