(Gambar hiasan)
(Gambar hiasan)

Cuaca panas Tahap Satu, JPN Sabah sentiasa pantau situasi semasa

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
07 May 2026 06:20pm

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sentiasa memantau keadaan cuaca susulan amaran cuaca panas Tahap Satu yang dikeluarkan di beberapa daerah sebelum ini.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya turut menerima maklumat terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perkembangan cuaca panas yang berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara.

Menurutnya, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah telah diingatkan supaya sentiasa peka terhadap tahap cuaca semasa serta merujuk kepada garis panduan yang ditetapkan sekiranya berlaku cuaca panas melampau.

"Kita sentiasa memantau cuaca di Sabah dan kementerian juga sentiasa memaklumkan dari semasa ke semasa mengenai negeri-negeri yang terlibat dengan cuaca panas ini. Kalau sekiranya pihak Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengumumkan sesuatu kawasan mengalami cuaca panas, maka kita akan merujuk kepada garis panduan serta tindakan yang sesuai untuk dilaksanakan," katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan SPM di Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, Kota Kinabalu.

Mengulas mengenai keadaan di Telupid yang dilaporkan mengalami cuaca panas ketika ini, beliau berkata, situasi di daerah berkenaan masih terkawal dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Katanya, pihak sekolah juga diberi kelonggaran untuk membenarkan murid memakai pakaian yang lebih sesuai dan selesa sepanjang cuaca panas, asalkan masih kemas serta bersesuaian untuk hadir ke sekolah.

"Tidak semestinya murid perlu memakai pakaian seragam biasa sepanjang masa. Yang penting pakaian itu kemas dan sesuai digunakan di sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Raisin berkata, setakat ini keadaan cuaca di Sabah masih belum berada pada tahap yang memerlukan aktiviti luar dihentikan sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, pihak sekolah dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya cuaca terlalu panas dan mengutamakan pelaksanaan aktiviti di kawasan tertutup demi keselamatan serta keselesaan murid.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah maklumkan kepada semua PPD dan sekolah mengenai tindakan yang boleh dilaksanakan sekiranya berlaku cuaca panas," katanya.

MetMalaysia dua hari lalu mengeluarkan status cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga bagi empat kawasan termasuk dI Telupid iaitu suhu maksimum harian boleh mencecah antara 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, bercakap mengenai majlis yang dihadirinya, beliau menyifatkan ia sebagai satu pengiktirafan bermakna kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kecemerlangan akademik pelajar di negeri ini.

Menurutnya, penghargaan itu bukan sahaja diberikan kepada pelajar cemerlang, malah melibatkan PPD, pengetua, guru serta ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan anak-anak.

"Yang istimewa hari ini ialah kita memberikan anugerah kepada pelajar-pelajar SPM yang berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil.

"Ia merupakan gambaran bahawa anak-anak Sabah mampu mencapai kecemerlangan sekiranya guru-guru dan ibu bapa terus bekerjasama memastikan kejayaan mereka," katanya.

Menurut beliau, pencapaian akademik Sabah pada tahun ini juga menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan apabila semakin banyak daerah berjaya mencatat prestasi lebih baik berbanding sasaran yang ditetapkan.

"Kita telah melihat pertambahan bilangan PPD yang berjaya mencatat keputusan di bawah Gred Purata Negeri dan yang sangat menggembirakan, daripada 24 PPD di Sabah, sebanyak 15 PPD telah berjaya mencatat keputusan di bawah gred purata lima.

"Mereka telah menyumbang kepada pencapaian Sabah dengan catatan Gred Purata Negeri 4.85, sekali gus menjadi kali pertama Sabah mencatat keputusan yang seimbang dengan negeri-negeri lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan pada tahun ini melalui kerjasama berterusan semua pihak dalam memperkukuh prestasi pendidikan di negeri ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp