
Kes kemalangan pelajar: KPM tambah baik garis panduan sekolah selamat
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menambah baik Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat supaya lebih relevan dengan cabaran semasa, khususnya melibatkan aspek keselamatan murid dan warga sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu kini digerakkan menerusi Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Jawatankuasa ini turut dianggotai pelbagai wakil bukan kerajaan serta komuniti bagi memastikan isu berkaitan keselamatan di sekolah diberi perhatian,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru pada Isnin.
Turut hadir pada majlis itu ialah Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Kenyataan itu hadir susulan beberapa insiden tragis melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini. Pada 12 April lalu, seorang pelajar tingkatan satu maut selepas dirempuh sebuah kereta di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas.
Di Johor pula, seorang murid perempuan Tahun Dua dilaporkan maut selepas dilanggar van di hadapan pagar utama Sekolah Kebangsaan Seri Maimon pada 5 Mei lalu.
Dalam sidang media selepas majlis berkenaan, Fadhlina menegaskan KPM telah mengarahkan semua pengetua dan pentadbir sekolah supaya melaksanakan langkah keselamatan secara lebih tegas dan konsisten setiap hari.
“Tiada kompromi dalam isu melibatkan keselamatan pelajar dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan program keselamatan termasuk MyLesen B2 dan MyB2S merupakan antara tindakan susulan hasil penelitian jawatankuasa khas tersebut terhadap isu keselamatan murid secara menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan menerusi JPJ menyasarkan seramai 60,000 pelajar menerima manfaat daripada program khas MyB2S 2026 yang melibatkan peruntukan kira-kira RM18.5 juta.