
IPGM beri amaran keras: Tiada kompromi terhadap budaya buli
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli melibatkan pelatih guru di kampus institusi itu.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, IPGM memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian buli yang dilaporkan berlaku di sebuah kampus IPGM dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak terlibat.
Menurut kenyataan itu, tindakan tegas termasuk hukuman tatatertib buang daripada IPGM akan dikenakan terhadap mana-mana pelatih yang didapati bersalah dalam insiden berkenaan.
IPGM turut menegaskan bahawa setiap pelatih guru perlu menampilkan disiplin tinggi serta akhlak dan sahsiah yang baik memandangkan mereka merupakan bakal pendidik yang akan membentuk generasi masa depan negara.
Ketegasan itu dilihat sebagai mesej jelas bahawa budaya buli tidak mempunyai tempat dalam institusi pendidikan, lebih-lebih lagi melibatkan individu yang sedang dilatih untuk menjadi guru dan contoh kepada masyarakat.