
KPM umum cuti tambahan Deepavali! Ini tarikh mengikut negeri
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pemberian cuti tambahan sempena sambutan Hari Deepavali menerusi Kalendar Akademik Sesi 2026 bagi sekolah-sekolah di bawah Kumpulan A dan Kumpulan B.
Pengumuman ini pastinya menjadi perhatian warga sekolah, khususnya guru, ibu bapa dan murid yang ingin membuat perancangan awal sempena perayaan berkenaan.
Bagi sekolah dalam Kumpulan A yang melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, cuti tambahan diberikan pada 9 November 2026 (Isnin).
Sementara itu, sekolah dalam Kumpulan B yang merangkumi Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan menerima cuti tambahan pada 10 November 2026 (Selasa).
Bagaimanapun, Sarawak dikecualikan daripada pemberian cuti tambahan pada 10 November.
Ini bermakna sekolah Kumpulan B yang disenaraikan akan bercuti pada 9 dan 10 November 2026. Tarikh 9 November merupakan cuti ganti perayaan, manakala 10 November ialah cuti tambahan yang diberikan oleh KPM.
Bagi sekolah di Sarawak pula, cuti diberikan pada 9 November 2026 (Isnin) sahaja.
Justeru, ibu bapa dan warga sekolah disarankan menyemak ketetapan cuti mengikut kumpulan masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan dalam merancang aktiviti sempena Deepavali.