
1,879 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen MSU ke-37
Seramai 1,879 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-37 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Canselor MSU.
Majlis konvokesyen itu diadakan sebagai simbol penghargaan terhadap usaha, dedikasi dan kecemerlangan para graduan sepanjang menamatkan pengajian masing-masing dalam pelbagai bidang akademik.
Sebanyak 120 program akademik terlibat dengan majlis yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 Mei menerusi tiga sidang konvokesyen.
Daripada jumlah tersebut, seramai 63 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (79), Sarjana Muda (966) serta Diploma (771).
Hadir menyempurnakan majlis ialah Raja Muda Kedah yang juga Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Turut hadir Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid; Pro Canselor MSU, Profesor Emeritus Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang; Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid serta Ahli Lembaga Universiti dan pengurusan kanan universiti.
Dalam pada itu, seramai 61 graduan turut menerima anugerah khas kecemerlangan melibatkan lima kategori sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang akademik dan kokurikulum sepanjang tempoh pengajian mereka.
Penerima anugerah menerima hadiah sumbangan Yayasan MSU berupa plak, wang tunai dan biasiswa bagi menyambung pengajian lanjutan di universiti berkenaan.
Mereka ialah:
1) Anugerah Pingat Emas Canselor: Nur Desslinna Cheah Mohd Ridzuan Cheah, Bachelor of Education (Hons) - TESL.
2) Anugerah Presiden: Abdul Ahad A.K.S Mohd Salleh, Doctor of Philosophy (Accounting/ Finance); Choong Shuning, Bachelor in Economics and Finance (Honours) dan Adam Haris Hazatul Isman, Diploma in Computer Forensic.
3) Mohd Shukri Yajid Outstanding Award: Muhammad Azrai Mohd Shamsol Bahri, Bachelor in Creative Multimedia (Honours) 1.
4) 36 graduan menerima Anugerah Akademik
5) 20 graduan menerima Anugerah Industri.

Rakan industri yang terlibat dalam penganugerahan Anugerah Industri kepada graduan cemerlang MSU termasuklah MSU Medical Centre, MSU Pharma Sdn Bhd, Betelcare Sdn Bhd, Affin Bank Berhad, Institut Jantung Negara, NRG Capital Sdn Bhd, Hong Leong MSIG Takaful Berhad, BilaBila Retail Sdn. Bhd, Mahsuri Food Sdn Bhd, Fire Fighter Industry Sdn Bhd, Novatiq Scientific Sdn Bhd, Interlight Technology Sdn. Bhd, Megane Samurai Malaysia Sdn Bhd, Mas Awana Services Sdn Bhd, SNK Market Data Research Sdn Bhd, LEDtronics Sdn Bhd serta Indkom Engineering Sdn Bhd.
Kerjasama pintar di antara MSU dengan lebih 3,000 rakan industri khususnya melalui University Industry Advisory Panel (UIAP) telah menyumbang kepada penawaran program pengajian akademik dan TVET berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.
Ini telah menyaksikan MSU dinobatkan sebagai ASEAN's Most Transformative & Impactful TVET University, Malaysia Education & TVET Awards 2025.
Pelbagai transformasi telah dilaksanakan oleh MSU dalam memastikan ia terus relevan dengan perkembangan terkini dalam agenda pendidikan tinggi negara dan global serta meluaskan akses pendidikan kepada semua.
Keberkesanan ini diukur melalui beberapa indikator termasuk kebolehpasaran dan hubungan dengan industri, keusahawanan, pengantarabangsaan, penyelidikan, kelestarian program bersama komuniti serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.
Kajian Pengesanan Graduan 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merekodkan bahawa MSU mencapai kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 99.8 peratus, menjadikannya antara yang tertinggi di Malaysia.
Pencapaian ini turut disokong dengan pengiktirafan oleh Talentbank yang menobatkan MSU sebagai The 2 Employers' Choice of University 2026 serta mendapat penarafan kebolehpasaran 6 bintang bagi bidang Dentistry, Hospitality Management, Law dan Tourism.
Indikator tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan pengajaran dan pembelajaran di MSU dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memasuki dunia kerjaya (job-ready), malah mampu memenuhi keperluan dan cabaran masa hadapan (future-ready).
Terkini, MSU mendapat penarafan 5 bintang oleh QS Stars Rated Excellence bagi sembilan matrik iaitu Pengajaran; Kemudahan; Kebolehpasaran Graduan; Tadbir Urus Baik; Impak Sosial; Pembangunan Akademik; Penglibatan Global; Hospitaliti dan Pengurusan Rekreasi serta Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman.
Antara pencapaian lain sepanjang lebih empat dekad penubuhan MSU termasuklah berada pada kedudukan #597 dalam QS World University Rankings (WUR) 2026; pada ranking #601-800 dalam Times Higher Education (THE) WUR 2026; ranking ke125 dalam QS WUR: Asia 2026; ranking ke-251 dalam THE Asia University Ranking 2026; ranking ke-17 dalam THE South-east Asia Rankings 2026; ranking ke-30 dalam QS WUR: Asia 2026-Southeastern Asia; kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam Top 50 Under 50 Rankings; kelompok #301-500 dalam QS World Graduate Employability Rankings.
Manakala penekanan dalam aspek Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menyaksikan MSU disenaraikan pada kedudukan #101-200 dalam THE for Impact Ranking 2025; kedudukan #1051st-1060th dalam QS WUR: Sustainability 2026; serta dinobatkan sebagai Engaged & Sustainable University of the Year 2024 oleh Accreditation Council for Entrepreneurial & Engaged Universities (ACEEU).
Lonjakan kecemerlangan MSU bagi aspek pembelajaran dan pengajaran pula menyaksikan QS WUR by Subject 2026 menyenaraikan subjek Business & Management Studies pada kedudukan ke-112 dunia; subjek Art & Design pada kedudukan #201-300 dunia; subjek Accounting & Finance pada kedudukan #251-300 dunia, subjek Computer Science & Information Systems pada kedudukan #351-400 dunia serta subjek Life Sciences & Medicine pada kedudukan #701-850.

Manakala dalam THE World University Rankings by Subject 2026, subjek Medical and Health dan Education Studies, MSU berada pada kedudukan #501-600 dunia.
Terdahulu, MSU merupakan sebuah universiti global komprehensif dwi sektor (Global Comprehensive Dual Sector University) yang mengintegrasikan pendidikan akademik dan teknikal dalam satu ekosistem pendidikan tinggi.
Ia menawarkan kedua-dua program pendidikan tinggi serta laluan TVET, sekali gus membolehkan perkembangan pembelajaran yang fleksibel daripada latihan berasaskan kemahiran yang memenuhi keperluan industri dengan pendedahan global.
Perspektif globalnya menyaksikan MSU mejalinkan kerjasama pintar dengan lebih 500 rakan universiti di seluruh dunia.