
37 mahasiswa UKM jayakan misi kesukarelawanan di Cameron Highlands
Kolej Ibrahim Yaakub, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuhkan peranannya dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jiwa kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi penganjuran Program Aspirasi Komuniti Unggul (AKU-SISWA), sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti melalui aktiviti pendidikan, pembangunan sosial dan kesukarelawanan.
Program yang melibatkan 37 mahasiswa bersama seorang felo penasihat telah memilih Kampung Tiat dan Kampung Pinang di Cameron Highlands sebagai lokasi pelaksanaan.
Pengetua Kolej Ibrahim Yaakub, Dr Seri Mastura Mustaza berkata, AKU-SISWA merupakan platform yang mendekatkan semula mahasiswa dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada komuniti setempat.
Menurutnya, program seumpama itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami realiti kehidupan masyarakat sekali gus menyumbang tenaga dan kepakaran yang dimiliki.
"Program di luar bilik kuliah ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat malah memberi ruang kepada mahasiswa untuk berbakti semula kepada masyarakat," katanya.
Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sepanjang program berkenaan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Antaranya termasuk pemasangan 15 unit lampu jalan solar dan tiga panel solar hasil kerjasama Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) Al-Mustain Billah bagi membantu menyediakan kemudahan pencahayaan yang lebih baik kepada komuniti.
Selain itu, satu set sistem hidroponik dan 12 unit GreenKit turut disumbangkan menerusi kerjasama serta tajaan daripada MARDI dan MARDICORP bagi menggalakkan aktiviti pertanian moden dalam kalangan penduduk.
Dalam usaha memperkasa kemahiran abad ke-21, program tersebut turut mengetengahkan elemen pemerkasaan digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada komuniti Orang Asli melalui kerjasama Kolej Profesional MARA Seri Iskandar.
Usaha itu bertujuan meningkatkan pendedahan masyarakat terhadap teknologi digital serta membuka peluang kepada mereka untuk memanfaatkan teknologi dalam kehidupan seharian.
Tidak hanya tertumpu kepada pembangunan kemudahan dan pendidikan, AKU-SISWA turut menyalurkan bantuan kebajikan kepada penduduk melalui sumbangan 50 bakul kasih tajaan Yayasan Kosma serta alat bantuan pembelajaran yang ditaja oleh Zakat UKM.

Program tersebut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Yayasan Pahang, Yayasan Canselor UKM dan Gabungan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Negeri Pahang.
Majlis penutupan AKU-SISWA telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor.
Penganjuran program itu membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi agen perubahan yang membawa impak positif kepada masyarakat, sekali gus menyokong agenda pembangunan komuniti yang lebih mampan dan inklusif.
