
Keberkesanan pembelajaran bermakna di awal usia
Sejak usia seawal satu tahun, kanak-kanak diterapkan dengan pengalaman pembelajaran bermakna yang menggalakkan mereka berfikir, meneroka serta memahami dunia sekeliling melalui pengalaman sebenar di samping berjaya menarik minat kanak-kanak.
Pada permulaannya, kanak-kanak diperkenalkan dengan tema haiwan di mana mereka belajar mengenali pelbagai ciri-ciri haiwan, cara haiwan bergerak serta habitat tempat haiwan tinggal melalui aktiviti bercerita, nyanyian, pemakaian topeng dan bermain di dalam kelas.
Aktiviti pembelajaran menjadi lebih menarik apabila kanak-kanak menunjukkan minat melihat semut berjalan secara berkumpulan dan memakan makanan manis di sekitar kawasan pembelajaran.
Daripada pemerhatian itu, pendidik mengambil peluang mengembangkan idea pembelajaran dengan menghasilkan aktiviti membuat lolipop coklat sebagai pengalaman sensori dan eksplorasi rasa kepada kanak-kanak.
Kanak-kanak diberi ruang sepenuhnya dalam pembelajaran ini kerana kreativiti mereka di beri secara menyeluruh.

Ini kerana pembelajaran yang terbaik adalah memberi ruang kepada kanak-kanak untuk mengekplorasi mencuba serta meneroka idea sendiri melalui pengalaman sebenar yang bermakna.
Pendekatan pembelajaran berpusatkan kanak-kanak yang diperkenalkan Maria Montessori sejak awal 1907 melalui kaedah Montessori membuktikan bahawa apabila kanak-kanak diberi ruang memilih, meneroka dan belajar mengikut keupayaan sendiri, mereka menjadi lebih yakin, berdikari dan bermotivasi tinggi dalam pembelajaran.
Dalam masa yang sama, Teori Sistem Ekologi oleh Urie Bronfenbrenner yang diperkenalkan pada tahun 1979 menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak tidak berlaku secara terasing, tetapi dipengaruhi oleh hubungan dinamik antara keluarga, sekolah, komuniti dan persekitaran sosial.
Dari sudut perkembangan emosi pula, Erik Erikson melalui Teori Perkembangan Psikososial sekitar tahun 1950 menegaskan bahawa pengalaman awal yang positif mampu membina rasa percaya diri, autonomi serta kestabilan emosi kanak-kanak sepanjang hayat.
Pendidikan yang berkualiti memberi satu jaminan untuk anak-anak dapat merealisasikan pemikiran mereka kepada pola pembelajaran yang lebih baik.
Jadi dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak, pendekatan yang berpusatkan kanak-kanak amat penting bagi memastikan setiap pengalaman pembelajaran dapat membentuk perkembangan yang holistik.

Hal ini kerana setiap kanak-kanak mempunyai potensi yang unik dan melalui bimbingan serta persekitaran pembelajaran yang sesuai, mereka mampu membina kefahaman, kemahiran serta sikap positif terhadap pembelajaran sejak usia awal.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa pendidikan awal bukan sekadar bermain, tetapi merupakan asas penting dalam membina perkembangan kognitif, emosi, sosial dan fizikal kanak-kanak secara menyeluruh.
Dengan itu, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) sentiasa komited dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang berkualiti melalui pendekatan-pendekatan yang lebih menarik agar anak-anak menerima pembelajaran yang lengkap di samping mereka tidak terhalang untuk mereka mengekplorasi sesuai dengan kemahuan mereka.
Maklumat penulis:
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, NCDRC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Norelme Mokhtar
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my