
YouTube, Telegram jadi 'kelas kedua'
Di sebalik canggihnya teknologi dan ledakan dunia digital, peranan guru terus berkembang seiring perubahan zaman.
Guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan Maharani, Muar, Johor, Siti Zubaidah Musa yang merupakan penerima Anugerah Pencipta Kandungan Digital menjadikan pengorbanan, kesungguhan dan dedikasi diri dalam memastikan pembelajaran lebih dekat dengan jiwa generasi sekarang.
Lebih membanggakan, katanya, pendekatan kreatif yang diketengahkan membantu murid memahami pelajaran dengan lebih mudah.
"Secara tidak langsung, ia membuktikan guru-guru masa kini bukan sekadar pendidik dalam kelas, tetapi juga pencetus inovasi pendidikan digital negara," katanya kepada Sinar Bestari.
Siti Zubaidah memaklumkan platform YouTube dan Telegram antara pendekatan kreatif guru untuk menarik minat murid terhadap pembelajaran.
Menurutnya, kedua-dua medium itu bukan sahaja memudahkan perkongsian bahan pembelajaran secara percuma, malah membuka ruang interaksi lebih dekat bersama komuniti pendidikan.

"Melalui saluran Telegram BBM Cikgu Siti Zubaidah Musa yang kini lebih 25,000 pengikut, pelbagai modul, nota, permainan interaktif dan pautan video dikongsikan untuk manfaat murid, guru serta ibu bapa.
"Idea kandungan pula tercetus daripada pengalaman harian bersama murid pemulihan dengan menggabungkan elemen animasi, muzik, humor dan interaktif supaya pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan serta mudah difahami," kongsinya lagi.
Lebih menarik, murid-murid yang terdedah lebih awal dengan kandungan digital memberi impak positif khususnya dari segi minat, keyakinan diri dan tahap pemaham mereka dalam kelas.
Siti Zubaidah berkata, penggunaan elemen visual serta audio membantu murid memahami sesuatu konsep dengan lebih cepat dan mudah sekali gus menjadikan sesi pembelajaran lebih menyeronokkan.
"Aktiviti interaktif yang diperkenalkan turut mendorong murid menjadi lebih berani mencuba, aktif berkomunikasi dan fokus ketika belajar.
"Bagi murid pemulihan khas pula, pendekatan digital yang santai dan dekat dengan minat mereka berjaya meningkatkan keyakinan diri serta penglibatan dalam pembelajaran secara lebih konsisten," katanya.
