No Image Caption

Bendung risiko dunia digital

Perkukuh perlindungan pengguna muda di alam maya

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
02 Jun 2026 07:04pm

Dalam era digital yang semakin berkembang, media sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan harian remaja termasuk untuk pembelajaran, hiburan dan komunikasi.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap keselamatan pengguna muda mendorong kerajaan mengambil langkah tegas apabila sekatan akaun media sosial bagi individu bawah 16 tahun dijangka dilaksanakan Jun ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi memperkukuh perlindungan dalam talian menerusi mekanisme pengesahan umur yang diperhalusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam kalangan pelajar pula, cadangan itu menerima pelbagai reaksi termasuk ada yang melihatnya sebagai usaha penting bagi mengurangkan risiko buli siber, penipuan dan ketagihan media sosial.

Bagi sesetengah pelajar, langkah ini satu usaha positif untuk melindungi mereka yang masih belum cukup matang dalam mengawal penggunaan media sosial secara bijak.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Nukman Hakeem Mohd Nor Haffi z, 16, bersetuju dengan sekatan itu yang difi kir dapat membantu mengurangkan risiko buli siber, penipuan dalam talian, kandungan tidak sesuai dan ketagihan media sosial.

Menurutnya, pada usia bawah 16 tahun, remaja cukup mudah terpengaruh dengan trend negatif dan individu tidak dikenali yang boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan diri mereka.

“Penggunaan media sosial untuk tujuan pembelajaran masih perlu diberi ruang dengan pemantauan ibu bapa.

“Dalam era digital hari ini, media sosial menjadi medium penting untuk mencari maklumat, menonton video pembelajaran dan berkomunikasi dalam tugasan sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Nukman Hakeem menekankan bahawa kawalan ibu bapa dan pihak sekolah amat penting kerana banyak risiko seperti iklan palsu dan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

“Setakat ibu bapa menetapkan had penggunaan gajet, termasuk mengawal masa skrin dan penggunaan hanya di ruang tertentu seperti ruang tamu.

Sekatan ini juga boleh membantu mengurangkan ketagihan media sosial jika dilaksanakan dengan baik.

"Namun, ia perlu disertai dengan pendidikan literasi digital agar remaja lebih sedar tentang penggunaan media sosial secara sihat dan beretika," katanya.

Dari kiri, Nukman Hakeem, Dewa Indera Syazmil, Athirah
Dari kiri, Nukman Hakeem, Dewa Indera Syazmil, Athirah

Batasan layari media sosial

Pelajar SMK Saujana Utama, Dewa Indera Syazmil Muzammil, 15, berkata, perlindungan terbaik bermula dengan kawalan diri sebelum melakukan sebarang tindakan di alam maya.

“Setiap remaja mempunyai cara penggunaan media sosial berbeza. Ada yang memanfaatkannya bagi tujuan pembelajaran dan mencari maklumat.

“Tetapi tidak kurang juga yang salah guna platform itu untuk perkara negatif seperti melayari kandungan tidak sesuai termasuk buli siber.

“Jika perkara itu tidak dibendung, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan remaja terus terpengaruh dengan perkara tidak baik,” katanya.

Bijak pilih, lindungi diri

Pelajar SMK Seri Sepang, Athirah Ahmad Firwan, 15, berkata, perisai terhadap anasir negatif 'dunia tanpa sempadan' perlu bermula dengan diri sendiri.

Kongsinya, setiap remaja khasnya yang berusia bawah 16 tahun perlu disiplin dengan menetapkan had masa penggunaan media sosial dan elak perkongsian berlebihan kehidupan peribadi.

“Remaja juga perlu bijak memilih tontonan kerana apa yang dilihat akan membentuk cara berfi kir dan tindakan.

"Penggunaan tetapan parental control dalam aplikasi boleh menjadi benteng keselamatan tambahan.

“Pendidikan digital dan etika penggunaan media sosial juga wajar diperkukuh agar remaja termasuk diri saya sendiri menjadi pengguna yang bertanggungjawab,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp