
Perdagangan halal: Satu peluang besar dalam ekonomi dunia
Dasarwarsa ini, isu perdagangan halal sering menjadi buah mulut masyarakat apabila muncul sebagai satu sektor ekonomi yang berkembang rancak di peringkat antarabangsa lebih-lebih lagi ketika krisis yang berlaku di timur tengah pada hari ini.
Konsep halal yang pada asalnya berkait rapat dengan pematuhan syariah dalam konteks pemakanan malah berkembang kepada beberapa sektor seperti kosmestik, logistik, pelancongan, dan farmaseutikal.
Perubahan atau perkembangan yang berlaku ini bukan disebabkan oleh peningkatan populasi Muslim di dunia sahaja, tetapi menjadi simbol standard kualiti, kebersihan, dan keselamatan yang diterima masyarakat global.
Perkembangan industri halal juga dipengaruhi oleh kesedaran pengguna yang kian meningkat hari demi hari terhadap produk halal.
Kini, pengguna lebih bijak dalam memilih produk halal kerana mereka percaya bahawa proses pengeluarannya lebih beretika dan memenuhi piawaian kesihatan. Situasi ini jelas membuktikan bahawa aktiviti perdagangan halal mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Menurut laporan State of the Global Islamic Economy, nilai pasaran global kini telah mencecah trilion dolar Amerika dan akan terus meningkat dalam beberapa tahun mendatang.
Sektor makanan halal menyumbang lebih daripada USD1.9 trilion iaitu menjadi antara penyumbang terbesar dalam ekonomi halal global.
Menjelang tahun 2030, populasi Muslim dunia dijangka akan meningkat kepada 2 bilion sekaligus menyebabkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal meningkat secara mendadak. S
ementelahan itu, pertumbuhan masyarakat Muslim di negara-negara membangun seperti, Malaysia, Indonesia, dan Vietnam dijangka akan meningkatkan kuasa beli pengguna terhadap produk halal.
Hal ini memberi peluang besar kepada syarikat dan negara pengeluar untuk menembusi pasaran baharu.
Dalam pada itu, kesedaran pengguna yang semakin meningkat terhadap isu keselamatan dan kebersihan makanan menjadikan produk halal mendapat tempat di hati masyarakat global.
Malaysia merupakan antara negara Islam dalam pembangunan industri halal global. Usaha ini diperkukuhkan dengan adanya sistem pensijilan halal yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa serta mendapat sokongan dan dorongan daripada pihak kerajaan melalui beberapa dasar dan inisiatif.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjadi tonggak utama dalam memastikan standard halal yang tinggi dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap setiap produk halal yang dikeluarkan dalam negara.
Bahkan juga, pensijilan halal Malaysia diiktiraf sebagai sijil halal yang dipercayai kerana menitikberatkan pematuhan ketat terhadap syariah.
Malaysia turut terlibat aktif dalam mempromosikan industri halal melalui beberapa pameran dan forum antarabangsa seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).
Platform ini penting kerana menjadi pertemuan antara pengeluar, pelabur, dan pengguna dari seluruh negara.
Kedudukan Malaysia yang begitu strategik sebagai hab halal antarabangsa memberikan kelebihan besar untuk terus mengukuhkan ekonomi melalui aktiviti eksport produk halal.
Tambahan pula, perdagangan halal telah menawarkan pelbagai peluang ekonomi kepada usahawan dan negara di dunia. Dari perspektif eksport, produk halal ini mempunyai peluang besar dan luas untuk menembusi pasaran antabangsa.
Misalnya, negara-negara yang majoritinya adalah orang Muslim seperti Malaysia, Indonesia, negara Timur Tengah, dan Asia Selatan. Walau
bagaimanapun, negara bukan Islam juga seperti Jepun, Vietnam, dan China turut tertarik dengan industri halal bagi memenuhi permintaan global sekali gus meningkatkan sektor pelancongan di negara mereka.
Situasi ini memberi peluang dan ruang kepada pengeluar tempatan untuk terus meluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Di Malaysia, produk halal seperti makanan, kosmetik, dan produk kesihatan semakin mendapat sambutan dan perhatian di luar negara kerana diyakini berkualiti dan selamat untuk digunakan.
Jika peluang ini digunakan sebaiknya, industri halal terutamanya di Malaysia berpotensi menyumbang kepada pendapatan negara dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.
Seterusnya, industri halal ini menyumbang kepada peluang pekerjaan yang besar kepada masyarakat. Kerajaan juga melalui usaha dalam mewujudkan satu program iaitu Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat membantu usahawan tempatan memperoleh pendapatan yang lumayan.
Melalui usaha ini usahawan tempatan boleh menceburi pelbagai sektor dalam rantaian halal seperti logistik, pemprosesan makanan, pembungkusan dan pemasaran sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.
Dalam dunia yang serba teknologi dan digitalisasi ini, produk halal boleh dipasarkan dengan meluas bagai cendawan tumbuh selepas hujan melalui platform e-dagang dan secara tidak langsung dapat meningkatkan akses kepada pengguna global.
Malahan, penggunaan media sosial yang menjadi medium pemasaran juga boleh membantu PKS untuk memperkenalkan produk mereka dengan kos yang lebih rendah.
Hal ini dikatakan demikian kerana, industri halal mampu menjadi satu platform pertumbuhan ekonomi kepada usahawan kecil untuk terus berkembang pesat.
Namun begitu, dalam pelbagai usaha yang dilaksanakan dalam memperkasakan pedagangan halal semestinya terdapat cabaran yang perlu diatasi bagi memastikan perdagangan halal terus berkembang pesat di peringkat global.
Antaranya ialah, perbezaan standard halal antara negara-negara Islam sehingga dapat menimbulkan kekeliruan dan ketidakpastian pengguna dan pengeluar.
Seperti yang kita ketahui, setiap negara mempunyai badan pensijilan dan garis panduan yang berbeza sehingga menjadikan proses untuk mendapatkan pengiktirafan menjadi lebih rumit lebih-lebih lagi dalam urusan eksport dan import produk halal.
Selain itu, cabaran dalam memastikan kos pematuhan pensijilan halal yang tinggi kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) untuk terlibat sama dalam pasaran. Pelbagai aspek yang perlu dilihat seperti kos audit, pemantauan bahan mentah, dan pematuhan terhadap prosedur patuh syariah memerlukan kos atau modal yang besar.
Bahkan, tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah mengenai konsep halal dalam kalangan pengeluar yang bukan Islam juga menjadi satu halangan besar dalam memastikan industri ini terus berkembang luas.
Masih terdapat pihak yang berfikiran bahawa konsep halal hanyalah agama semata-mata sedangkan ianya merangkumi pelbagai aspek seperti keselamatan, kebersihan, dan kualiti produk.
Sebagai tamsil, isu penipuan logo halal oleh sesetengah pengeluar yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap produk halal di pasaran.
Dari sudut ekonomi Islam, sektor perdagangan halal bukan sahaja satu bentuk aktiviti ekonomi, malah menjadi satu ibadah besar yang memberi penekanan terhadap nilai keadilan, kejujuran, dan
integriti. Prinsip halal yang diterapkan dalam Islam harus memastikan bahwa setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan perlulah patuh syariah dan tidak memberi mudarat kepada pengguna terutamanya dalam aspek kesihatan, etika, dan keselamtan.
Situasi ini jelas menunjukkan bahawa konsep halal dalam islam sangat berkait rapat dengan konsep ‘tayyib’ yang diterapkan dalam islam yang bermaksud baik, bersih, dan berkualiti.
Konsep ini mengajak para pengeluar memenuhi syarat halal dan memastikan produk yang dihasilkan mampu untuk memberi manfaat kepada orang ramai.
Seterusnya, prinsip keadilan dalam ekonomi islam menjelaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan seperti pengeluar, pekerja, dan penguna haruslah dilayan dengan sama rata tanpa ada sebarang aktiviti eskploitasi.
Hal ini jelas membuktikan bahawa, aktiviti perdagangan halal menjadi satu sistem ekonomi yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan, malah menjaga keberkatan kesejahteraan sosial.
Oleh itu, nilai-nilai yang diterapkan ini mampu untuk meningkatkan kepercayaan pengguna sekali gus memperkukuhkan reputasi industri halal di peringkat antarabangsa. Konsep ini selaras dengan matlamat dalam mewujudkan sistem ekonomi yang adil dan seimbang dengan menitikberatkan kepentingan semua pihak.
Sementara itu, beberapa langkah yang efektif perlu dilaksanakan bagi memaksimumkan potensi perdagangan halal. Antaranya ialah, mengukuhkan standard halal di peringkat global melalui kerjasama antara beberapa buah negara dan organisasi antarabangsa seperti badan pensijilan halal dan institusi perdagangan dunia. Perlaksanaan standard ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan memudahkan proses eksport dan import produk halal di seluruh dunia.
Di samping itu, pihak kerajaan juga haruslah menyediakan lebih banyak lagi insentif seperti geran, latihan, dan kemudahan pembiayaan kepada usahawan tempatan dan memberi sokongan yang padu kepada mereka seperti PKS dalam mendapatkan pensijilan halal serta yakin untuk membawa produk menebusi pasaran antarabangsa.
Dalam pada itu, aktiviti pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) juga adalah salah satu langkah penting dalam menghasilkan produk halal yang lebih inovatif, berkualiti tinggi, dan berdaya saing.
Langkah ini termasuk dalam pembangunan produk baharu seperti makanan yang berasaskan tumbuhan dan farmaseutikal halal seperti produk kosmetik yang patuh syariah serta memenuhi keperluan pengguna moden pada masa kini.
Dengan usaha yang komprehensif ini, industri halal sangat berpotensi untuk berkembang dan menembusi pasaran global dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, penggunaan teknologi digital dalam perdagangan halal seperti blockchain, sistem pengesanan rantaian bekalan, dan kecerdasan buatan (AI) sangat penting dalam mengukuhkan industri halal di peringkat global.
Teknologi digital ini dapat meningkatkan kecekapan, ketelusan, serta kebolehkesanan dalam proses pengeluaran dan pengedaran produk halal. Sebagai contoh, sistem blockchain membolehkan setiap peringkat dalam rantaian bekalan direkod dengan telus tanpa mengubah apa-apa maklumat sehingga dapat meningkatkan keyakinan para pengguna terhadap status halal bagi setiap produk.
Seterunya, platform e-dagang dan pemasaran digital turut memberi peluang yang besar kepada usahawan untuk melangkah ke dalam pasaran antarabangsa tanpa memerlukan kos yang terlalu tinggi. Bukan itu sahaja, penggunaan teknologi ini akan
memudahkan akses pengguna global dan membantu untuk meningkatkan daya saing industri halal dalam era ekonomi digital ini. Justeru itu, penggunaan teknologi moden dapat mengekalkan reputasi industri halal di peringkat antarabangsa.
Natijahnya, aktiviti perdagangan halal merupakan peluang besar dalam ekonomi dunia yang perlu dipandang serius. Permintaan terhadap barang yang semakin meningkat menjadikan industri halal mampu menjadi pemacu utama dalam pertumbuhan ekonomi global.
Tamsilnya, Malaysia menjadi antara peneraju dalam industri ini yang mempunyai kebolehan dan kelebihan untuk mengukuhkan kedudukannya melalui inovasi, kerjasama, dan pematuhan kepada prinsip syariah.
Tegasnya, semua pihak perlulah bekerjasama dalam memastikan aktiviti perdagangan halal terus berkembang serta dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat sejagat.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Diyana Fazila Hasbullah
2. Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli