Bagi ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di UPSI, kehidupan universiti bukan sekadar cabaran akademik, tetapi juga perjuangan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang jauh daripada keluarga, budaya dan kampung halaman. Gambar hiasan
Bagi ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di UPSI, kehidupan universiti bukan sekadar cabaran akademik, tetapi juga perjuangan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang jauh daripada keluarga, budaya dan kampung halaman. Gambar hiasan

Rindu yang mahal: Realiti pelajar Sabah, Sarawak di UPSI yang belajar jauh dari keluarga

04 Jun 2026 03:13pm

Setiap kali semester baharu bermula, perkara paling sukar bagi Joanna, 21, bukanlah tugasan universiti atau peperiksaan, tetapi saat mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya di Sarawak.

Pelajar tahun kedua di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mengakui bahawa kehidupan berjauhan daripada keluarga bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.

"Bila sampai dekat lapangan terbang, memang rasa sedih. Kadang-kadang rasa nak balik rumah semula," katanya sambil ketawa kecil.

Bagi ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di UPSI, kehidupan universiti bukan sekadar cabaran akademik, tetapi juga perjuangan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang jauh daripada keluarga, budaya dan kampung halaman.

Kos tiket yang semakin mahal

Salah satu cabaran utama yang sering dihadapi oleh pelajar Sabah dan Sarawak ialah kos pengangkutan yang tinggi. Harga tiket penerbangan yang tidak menentu menyebabkan ramai pelajar tidak dapat pulang ke kampung dengan kerap.

Bagi Aaron, 23, seorang pelajar tahun akhir dari Sabah, harga tiket penerbangan kadangkala terlalu mahal, terutama ketika musim cuti semester dan perayaan.

"Kadang-kadang tiket boleh cecah lebih RM800. Kalau beli lambat memang susah nak balik," katanya.

Selain tiket penerbangan, pelajar juga perlu menanggung kos bagasi, pengangkutan darat dan perbelanjaan lain sepanjang perjalanan. Situasi ini menyebabkan ramai memilih untuk berjimat cermat atau hanya pulang sekali dalam setahun.

Artikel Berkaitan:

Rasa sunyi dan homesick

Berada jauh daripada keluarga dalam tempoh yang lama turut memberi kesan emosi kepada pelajar. Ramai mengakui mereka sering berasa sunyi, terutama ketika menghadapi tekanan belajar atau sambutan perayaan.

Bagi sesetengah pelajar, perkara paling dirindui ialah suasana rumah dan masakan keluarga.

"Bila tengok kawan Semenanjung boleh balik hujung minggu, saya rasa rindu juga sebab saya tak ada peluang macam tu," kata seorang pelajar dari Sarawak.

Perasaan homesick ini menjadi lebih ketara dalam kalangan pelajar tahun pertama yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan di universiti.

Menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu

Selain berjauhan daripada keluarga, pelajar Sabah dan Sarawak juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya, loghat dan makanan yang berbeza. Walaupun kelihatan kecil, perubahan ini boleh memberi kesan terhadap emosi dan keselesaan pelajar pada peringkat awal pengajian.

Ada pelajar yang mengakui mereka mengambil masa untuk membiasakan diri dengan cara hidup di Semenanjung Malaysia, termasuk dari segi komunikasi dan suasana pembelajaran.

Namun begitu, ramai juga berpendapat pengalaman hidup jauh dari keluarga membantu mereka menjadi lebih berdikari dan matang dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Media sosial jadi penghubung

Dalam era digital hari ini, media sosial dan aplikasi komunikasi menjadi penghubung utama antara pelajar dan keluarga di kampung halaman. Platform seperti WhatsApp, TikTok dan Instagram membantu mereka terus berhubung walaupun dipisahkan oleh Laut China Selatan.

Ramai pelajar mengakui panggilan video bersama keluarga menjadi rutin harian bagi mengurangkan rasa rindu dan kesunyian.

"Walaupun jauh, sekurang-kurangnya saya masih boleh video call keluarga setiap malam," kata Joanna.

IKSAS dan JASA jadi keluarga kedua

Di UPSI, pelajar Sabah dan Sarawak turut membentuk komuniti kecil untuk saling membantu dan mengurangkan rasa sunyi sepanjang berada di perantauan.

Persatuan seperti Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) dan Jalinan Anak Sarawak (JASA) menjadi platform untuk pelajar berkumpul dan menjalinkan hubungan seperti sebuah keluarga kedua.

Melalui aktiviti kebudayaan, program kebajikan dan sambutan perayaan bersama, persatuan ini membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti.

"Bila jumpa pelajar dari negeri sendiri, rasa macam dekat dengan rumah semula," kata seorang pelajar dari Sarawak.

Selain menjadi tempat berkongsi pengalaman, komuniti seperti ini juga memberikan sokongan emosi kepada pelajar yang berdepan tekanan dan kesunyian.

Cabaran kewangan mahasiswa perantauan

Selain kos tiket penerbangan, pelajar Sabah dan Sarawak juga perlu mengurus kos sara hidup yang semakin meningkat. Ada yang terpaksa berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan harian bagi memastikan wang mencukupi sehingga hujung semester.

Sesetengah pelajar turut melakukan kerja sambilan untuk menampung kos pengajian dan keperluan harian. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap berusaha meneruskan pengajian demi masa depan yang lebih baik.

Realiti menjadi pelajar Sabah dan Sarawak di UPSI bukanlah sesuatu yang mudah. Di sebalik kehidupan universiti yang kelihatan menyeronokkan, ramai sebenarnya berjuang dengan rasa rindu, tekanan emosi dan cabaran kewangan yang tidak selalu dilihat orang lain.

Namun begitu, pengalaman hidup jauh daripada keluarga turut mengajar mereka menjadi lebih berdikari, kuat dan matang dalam menghadapi kehidupan. Bagi mereka, setiap pengorbanan dan kerinduan yang ditanggung hari ini adalah demi masa depan yang lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga.

Maklumat penulis:

Mahasiswa UPSI, Evylia Dellcie Ismail

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp