(Gambar hiasan: Ilustrasi kecerdasan buatan)
(Gambar hiasan: Ilustrasi kecerdasan buatan)

TVET buka jalan kejayaan anak Perlis, graduan marin raih gaji hingga RM30,000

05 Jun 2026 05:00pm

Peluang untuk anak-anak Perlis menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus terbuka luas walaupun negeri itu belum mempunyai Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri sendiri.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Datin Marzita Mansor berkata, pelbagai institusi TVET sedia ada di negeri itu mampu memenuhi keperluan latihan kemahiran dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurut beliau, antara institusi yang menawarkan program TVET ialah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) TVET Centre, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, GiatMARA Kangar dan Arau serta Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kangar.

"Kerajaan negeri sentiasa berusaha memperluaskan penyertaan anak-anak Perlis dalam bidang TVET menerusi kerjasama strategik dengan institusi kerajaan dan swasta.

"Sebagai contoh, kursus TVET secara percuma telah ditawarkan kepada 100 anak asnaf menerusi kerjasama KHTP Skills Centre dan Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Januari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini pada Khamis.

Asrul ingin mengetahui kesediaan kerajaan negeri untuk mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri bagi melengkapkan ekosistem TVET negara serta menjadi jambatan antara kerajaan dan industri dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

Mengulas lanjut, Marzita berkata, TVET kini menjadi platform penting dalam meningkatkan mobiliti sosial serta membuka peluang kerjaya berpendapatan tinggi kepada generasi muda.

Katanya, kejayaan graduan TVET membuktikan bidang kemahiran bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan kerjaya yang mampu menjanjikan masa depan cerah.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, dua lepasan IKBN Kuala Perlis dalam bidang marin kini memperoleh pendapatan melebihi RM5,000 sebulan. Malah, seorang lagi graduan berjaya menembusi sektor offshore di Iran dengan pendapatan mencecah RM30,000 sebulan," katanya.

Beliau percaya kejayaan tersebut mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk mempertimbangkan TVET sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya yang berdaya saing selaras dengan keperluan industri masa kini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp