Aktiviti tabungan simpanan berfungsi dengan berkesan sebagai perisai pelindung yang menjaga kestabilan ekonomi domestik daripada sebarang bentuk kejutan luaran, manakala amalan infaq pula bertindak sebagai agen pembersihan jiwa dan harta sekali gus menjadi pemutar roda kebajikan sosial serta keadilan ekonomi dalam komuniti. Gambar kecil: Nur Farah Hayaati dan Dr Jaharudin
Aktiviti tabungan simpanan berfungsi dengan berkesan sebagai perisai pelindung yang menjaga kestabilan ekonomi domestik daripada sebarang bentuk kejutan luaran, manakala amalan infaq pula bertindak sebagai agen pembersihan jiwa dan harta sekali gus menjadi pemutar roda kebajikan sosial serta keadilan ekonomi dalam komuniti. Gambar kecil: Nur Farah Hayaati dan Dr Jaharudin

Mengimbangi tabiat menabung dan amalan infaq: Analisis pengurusan simpanan isi rumah muslim moden

08 Jun 2026 08:45am

Menurut kerangka ekonomi konvensional, gelagat isi rumah dikawal sepenuhnya oleh matlamat memaksimumkan kepuasan peribadi atau utiliti melalui penggunaan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang tersedia di pasaran.

Melalui teori makroekonomi klasik secara amnya menyatakan bahawa pendapatan boleh guna isi rumah dibahagikan secara binari kepada dua komponen utama sahaja, iaitu perbelanjaan penggunaan untuk keperluan semasa dan tabungan simpanan untuk kegunaan masa hadapan.

Berdasarkan acuan pemikiran materialistik tersebut, sebarang peruntukan dana yang mengalir keluar daripada pemilikan individu tanpa adanya balasan kebendaan secara langsung seperti pemberian kebajikan, sumbangan sukarela, atau pemindahan unilateral kepada pihak lain sering kali dianggap sebagai satu bentuk kebocoran atau pengurangan kepada potensi simpanan serta pelaburan yang menguntungkan.

Walau bagaimanapun, Ekonomi Islam menawarkan paradigma yang jauh lebih holistik, seimbang, dan dinamik dalam melihat aliran tunai manusia. Melalui lensa syariah, pendapatan isi rumah tidak hanya tertumpu pada dimensi kepenggunaan duniawi yang terhad, malah disuntik dengan elemen spiritual yang sangat mendalam bagi menghubungkan setiap tindakan ekonomi dengan ganjaran ukhrawi.

Persoalan utama yang sering kali timbul dalam kalangan isi rumah Muslim moden pada hari ini adalah bagaimana untuk mengekalkan satu bentuk keseimbangan yang optimum antara keperluan membina tabungan masa depan yang kukuh bagi tujuan keselamatan kewangan peribadi, dengan tanggungjawab melaksanakan amalan infaq demi menjaga kemaslahatan sosial serta kebajikan ummah secara menyeluruh.

Ekonomi Islam pada asasnya sama sekali tidak menolak kepentingan menabung atau mengumpul kekayaan untuk tujuan kebaikan, malah tindakan tersebut dikategorikan sebagai satu amalan yang amat digalakkan demi menjamin kelangsungan hidup diri sendiri dan ahli keluarga pada masa hadapan.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang sahih riwayat Al-Bukhari bahawa adalah jauh lebih baik bagi seseorang itu meninggalkan ahli warisnya dalam keadaan yang kaya atau cukup harta daripada meninggalkan mereka dalam keadaan yang miskin, melarat, serta meminta-minta kepada manusia lain.

Sifat berpandangan jauh dan bijak merancang ini sebenarnya selaras dengan salah satu teras utama di dalam Maqasid Shariah iaitu pemeliharaan harta benda atau hifz al-mal.

Melalui tabungan yang konsisten, sesebuah isi rumah berupaya membina satu jaringan penampan kewangan yang teguh bagi menghadapi pelbagai bentuk ketidaktentuan ekonomi masa hadapan seperti kesan inflasi yang tidak menentu, risiko kehilangan pekerjaan, krisis ekonomi global, mahupun kecemasan kesihatan yang memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Oleh yang demikian, perancangan simpanan yang rapi merupakan sebahagian daripada tuntutan syarak yang menuntut manusia untuk berusaha dan bertawakal secara seimbang.

Namun begitu, aktiviti pengumpulan harta kekayaan di dalam sistem Islam diimbangi secara ketat dan adil oleh kewajipan sosial melalui konsep infaq, yang merangkumi segenap aspek infaq wajib seperti pembayaran zakat pendapatan dan zakat harta, serta infaq sukarela seperti amalan sedekah, sistem wakaf, dan pemberian hadiah.

Islam melarang keras sebarang bentuk penimbunan harta yang bersifat beku, pasif, atau tidak produktif, yang diistilahkan secara khusus di dalam Al-Quran sebagai amalan ikhtinaz seperti yang diberi amaran keras oleh Allah SWT dalam Surah At-Tawbah ayat 34.

Penimbunan harta kekayaan tanpa diputar semula ke dalam kitaran ekonomi yang mampan melalui perbelanjaan keperluan, pelaburan yang patuh syariah, atau amalan infaq kebajikan akan merencatkan tahap kecairan pasaran dan seterusnya melebarkan lagi jurang sosioekonomi yang sedia ada dalam sesebuah masyarakat.

Oleh yang demikian, struktur pengurusan pendapatan isi rumah Muslim yang sebenar dibentuk untuk memasukkan pemboleh ubah kebajikan sosial ini secara langsung ke dalam aktiviti seharian mereka.

Hal ini membuktikan bahawa amalan infaq merupakan satu komponen yang sah, penting, dan harmoni dalam aliran tunai seorang Muslim tanpa perlu menimbulkan rasa

bimbang terhadap penjejasan tahap keselamatan tabungan peribadi mereka. Dalam era kontemporari yang serba mencabar, isi rumah Muslim sering kali terdedah kepada tekanan pasaran yang sangat hebat yang didorong oleh budaya konsumerisme melampau serta gaya hidup berorientasikan kemewahan material.

Kehadiran media sosial yang meluas dan strategi pemasaran digital yang sangat agresif sering kali mengaburkan sempadan penting antara keperluan asas yang mendesak yang dikenali sebagai daruriyyat, keperluan keselesaan hidup yang dipanggil hajiyyat, dan perbelanjaan untuk barangan mewah yang diistilahkan sebagai tahsiniyyat.

Akibat daripada kegagalan mengurus keutamaan ini, kecenderungan berbelanja dalam kalangan masyarakat telah meningkat secara mendadak, yang mana fenomena ini seterusnya mengakibatkan baki pendapatan bersih menjadi semkakin berkurangan sedangkan ia sepatutnya boleh diperuntukkan untuk tujuan tabungan jangka masa panjang serta amalan infaq kebajikan.

Dilema ini didapati semakin merunsingkan apabila masyarakat berhadapan dengan situasi peningkatan kos sara hidup yang mendesak. Golongan pekerja muda atau isi rumah dalam kategori pendapatan pertengahan dan bawahan atau dikenali juga sebagai golongan yang berpendapatan B40 dan M40 sering mendapati bahawa selepas menolak kos tetap seperti pengangkutan, ansuran perumahan, dan utiliti, baki pendapatan mereka sudah berada pada tahap yang sangat kritikal.

Dalam keadaan ini, sering kali timbul satu bentuk salah faham konseptual di mana amalan infaq dianggap sebagai satu bentuk bebanan kewangan tambahan yang boleh mengurangkan tahap keselamatan tabungan kecemasan mereka.

Ketakutan yang berlebihan terhadap kekurangan harta ini sebenarnya terjadi akibat kegagalan individu itu sendiri dalam memahami konsep keberkatan dalam pendapatan serta janji Allah SWT di dalam Al-Quran yang menyatakan dengan jelas bahawa amalan menginfaqkan harta di jalan kebaikan serta diredhai Allah tidak sekali-kali akan mengurangkan nilai kekayaan seseorang, melainkan akan melipatgandakannya lagi dengan cara yang tidak disangka-sangka seperti yang termaktub dalam Surah Al-Baqarah ayat 261.

Bagi mencapai tahap keseimbangan yang mampan dan berterusan dalam pengurusan simpanan ini, isi rumah Muslim amat memerlukan satu bentuk anjakan strategi yang drastik dalam kaedah pengurusan kewangan peribadi mereka.

Langkah pertama yang paling utama ialah dengan membudayaan konsep qana'ah iaitu menanam rasa syukur dan cukup dengan apa yang ada, serta mempraktikkan konsep iqtisad yang membawa maksud berjimat-cermat dan bersederhana dalam sebarang perbelanjaan seharian kehidupan.

Dengan mengambil tindakan yang berani untuk mengetepikan perbelanjaan yang tidak perlu pada peringkat penggunaan seharian, sesebuah isi rumah secara automatik akan berupaya untuk membebaskan sebahagian daripada aliran tunai mereka untuk disalurkan kepada tabungan masa depan dan amalan infaq secara serentak.

Strategi kedua yang boleh dipraktikkan ialah pelaksanaan sistem pengasingan pendapatan secara sistematik dan berdisiplin sejurus setelah gaji atau keuntungan perniagaan diterima pada setiap bulan.

Sebagai contoh, isi rumah boleh mencipta satu formula agihan yang konsisten dengan penetapan peratusan untuk penggunaan keperluan asas, manakala baki yang selebihnya dibahagikan terus secara berasingan untuk akaun simpanan kecemasan serta akaun peruntukan khusus untuk amalan infaq seperti caruman zakat bulanan, sedekah jariah yang konsisten, atau sumbangan kepada institusi wakaf tunai.

Melalui kaedah pengurusan yang proaktif ini, amalan infaq tidak lagi sekadar bergantung kepada baki perbelanjaan yang tinggal di penghujung bulan, sebaliknya ia diiktiraf sebagai satu komponen keutamaan yang telah tersusun rapi.

Seterusnya, perkembangan teknologi kewangan Islam moden telah membuka ruang yang luas melalui pemanfaatan pelbagai instrumen kewangan syariah seperti Wakaf Tunai dan platform pendanaan awam Islam yang membolehkan amalan infaq dilakukan secara mikro namun tetap

memberikan impak sosial yang besar. Seseorang Muslim pada hari ini tidak lagi perlu menunggu sehingga menjadi kaya-raya untuk mula berinfaq, sumbangan yang kecil secara berkala dan konsisten mengikut kemampuan diri sudah pun memadai bagi menyokong projek pembangunan infrastruktur sosial, institusi pendidikan, mahupun pembiayaan usahawan mikro daripada golongan asnaf.

Pada masa yang sama, dana tabungan utama mereka untuk kegunaan peribadi juga akan kekal terpelihara dengan selamat di dalam institusi kewangan Islam seperti Lembaga Tabung Haji atau institusi perbankan Islam tempatan yang menawarkan pulangan keuntungan serta dividen yang berkat dan patuh syariah sepenuhnya.

Kesimpulannya, analisis terperinci serta mendalam terhadap pengurusan kewangan isi rumah Muslim moden telah berjaya dibuktikan secara jelas bahawa tabiat menabung dan amalan infaq bukanlah dua entiti ekonomi yang saling bertentangan, berkonflik, atau saling menafikan antara satu sama lain.

Sebaliknya, kedua-dua instrumen kewangan ini merupakan komponen yang saling memerlukan sebagai pelengkap yang berfungsi menstabilkan kedudukan ekonomi individu dan juga struktur masyarakat secara menyeluruh.

Aktiviti tabungan simpanan berfungsi dengan berkesan sebagai perisai pelindung yang menjaga kestabilan ekonomi domestik daripada sebarang bentuk kejutan luaran, manakala amalan infaq pula bertindak sebagai agen pembersihan jiwa dan harta sekali gus menjadi pemutar roda kebajikan sosial serta keadilan ekonomi dalam komuniti.

Melalui pemahaman konseptual yang mendalam terhadap prinsip-prinsip murni Ekonomi Islam serta penerapan pengurusan aliran tunai yang berdisiplin, isi rumah Muslim pasti mampu untuk mencapai satu tahap keseimbangan yang ideal, iaitu menjamin keselamatan material yang stabil di dunia tanpa mengabaikan pelaburan spiritual jangka panjang untuk hari akhirat.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Farah Hayaati Salleh

2. Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp