Mayat Tajul Afif ditemukan pada 9.38 pagi Selasa selepas dua rakan mencarinya kerana tidak datang bekerja.
Mayat Tajul Afif ditemukan pada 9.38 pagi Selasa selepas dua rakan mencarinya kerana tidak datang bekerja.

Pensyarah UniSZA ditemukan meninggal dunia di rumah sewa

11 Mar 2026 09:11am

Seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut ditemukan meninggal dunia di rumah sewanya di Kampung Gelam Emas di sini pagi Selasa. 

Pensyarah Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Tajul Afif Abdullah, 49, ditemukan pada 9.38 pagi selepas dua rakan mencarinya kerana tidak datang bekerja sejak Isnin. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, berdasarkan keadaan mayat, lelaki itu dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemukan.

"Dua pensyarah yang mencarinya menghidu bau busuk dari luar rumah dan menghubungi polis. Bomba dipanggil untuk membuka pintu kerana berkunci dari dalam.

"Pensyarah itu ditemukan di tandas di bilik utama dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut," katanya dalam kenyataan pada Selasa. 

Mohd Rozaime berkata, siasatan pihak polis mendapati kematian lelaki yang mempunyai sejarah penyakit jantung itu tiada unsur jenayah.

Sementara itu, rakan baik arwah, Muhammad Hailmi Sajeli, 48, berkata, dia mengajak Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FBIM, Zarizal Suhaili untuk mencari Tajul Afif yang masih bujang selepas berasa tidak sedap hati apabila menyedari arwah tidak datang bekerja sejak Isnin. 

"Apabila sampai, kami dapati pintu dan tingkap rumah tertutup serta berkunci dari dalam selain terhidu bau busuk.

"Kami semakin tidak sedap hati kerana motosikal arwah ada di belakang rumah dan melihat air paip keluar dari rumah ke longkang. Bau busuk semakin kuat selepas membuka tingkap," katanya kepada pemberita di hospital.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Hailmi berkata, hari terakhir arwah datang bekerja ialah Khamis lepas, iaitu sebelum cuti hujung minggu dan cuti ganti Nuzul Quran pada Ahad selain tidak memberi respons dalam kumpulan WhatsApp selepas waktu bekerja hari yang sama.

Beliau berkata, Tajul Afif yang sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di UniSZA pernah menyuarakan hasrat enggan berkahwin kerana ingin menyara ibu yang strok. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI
  • Seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin ditemukan meninggal di rumah sewanya
  • Pensyarah tersebut, Tajul Afif Abdullah, berusia 49 tahun dan ditemukan selepas tidak hadir bekerja
  • Keadaan mayat menunjukkan beliau meninggal lebih dari 24 jam sebelum ditemukan
  • Kematian pensyarah yang mempunyai sejarah penyakit jantung itu tiada unsur jenayah
  • Tajul Afif berhasrat tidak berkahwin untuk menyara ibunya yang strok
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp