No Image Caption

UPSI abadikan tragedi Gerik dalam buku, jadi panduan pengurusan krisis masa depan

08 Jun 2026 10:20am

Tragedi kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak tahun lalu, kini diabadikan dalam sebuah buku khas bertajuk UPSI Berduka sebagai dokumentasi dan rujukan pengurusan krisis pada masa hadapan.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penerbitan buku itu mengambil masa hampir 10 bulan untuk disiapkan dan menghimpunkan pelbagai pengalaman serta tindakan yang dilaksanakan sepanjang tempoh pengurusan tragedi tersebut.

Menurut beliau, UPSI Berduka bukan sekadar merakam kronologi kejadian, malah mendokumentasikan tujuh fasa pengurusan krisis yang digerakkan universiti bersama pelbagai agensi berkaitan.

"Ia turut menghimpunkan luahan dan pengalaman waris, mangsa yang terselamat, sukarelawan, agensi penyelamat serta petugas barisan hadapan yang terlibat sejak hari pertama kejadian sehingga selesai pelbagai urusan berkaitan mangsa," katanya pada Sabtu.

Md Amin (tengah) menerima penyerahan buku 'UPSI Berduka' daripada Pengarah Pejabat Karang Mengarang UPSI, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah (kiri) pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali, Kelantan.
Md Amin (tengah) menerima penyerahan buku 'UPSI Berduka' daripada Pengarah Pejabat Karang Mengarang UPSI, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah (kiri) pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali, Kelantan.

Md Amin menjelaskan, buku itu diharap dapat menjadi panduan kepada institusi pendidikan dan organisasi lain dalam menguruskan situasi krisis pada masa hadapan.

"Walaupun kita berharap tragedi seperti ini tidak berulang, pengalaman yang dilalui perlu didokumentasikan agar dapat dijadikan pengajaran dan rujukan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Tabung UPSI Berduka yang diwujudkan selepas tragedi itu berjaya mengumpul kira-kira RM2 juta hasil sumbangan pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bantuan itu telah diagihkan secara berperingkat kepada 42 mangsa dan waris yang terlibat termasuk pelajar yang cedera serta keluarga mangsa yang terkorban.

Md Amin (tengah) bergambar bersama keluarga dan waris mangsa yang menerima sumbangan pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali, Kelantan.
Md Amin (tengah) bergambar bersama keluarga dan waris mangsa yang menerima sumbangan pada Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali, Kelantan.

Pada majlis itu juga, baki tabung berjumlah RM210,000 turut disalurkan dengan setiap penerima menerima RM5,000 secara sama rata.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memperkenalkan beberapa langkah penambahbaikan keselamatan pelajar susulan tragedi tersebut, antaranya tidak menggalakkan perjalanan pada waktu tengah malam, mewujudkan sistem pelaporan penyewaan bas kepada universiti serta memberikan fleksibiliti pembelajaran dalam talian sebelum dan selepas cuti pendek.

Untuk rekod, kemalangan pada 9 Jun 2025 di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, mengorbankan 15 penuntut universiti berkenaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp