
Bukan sekadar hafaz al-Quran, tahfiz Perak lahir profesional masa depan
Pendidikan tahfiz bukan lagi sekadar medan melahirkan hafiz dan hafizah, sebaliknya ia platform membentuk generasi profesional masa depan yang menguasai ilmu akademik serta berpaksikan nilai al-Quran.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi peruntukan hampir RM17 juta yang disalurkan Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2026 untuk pengurusan rangkaian lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu meliputi operasi sekolah, emolumen guru, latihan, makanan pelajar, kebajikan asrama serta penyelenggaraan.
Menurutnya, kerajaan negeri sedar pendidikan tahfiz berkualiti memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran terbaik, manakala kebajikan mereka dan tenaga pengajar sentiasa terpelihara.
"Peruntukan ini menggambarkan bahawa pembangunan pendidikan tidak hanya diukur pada binaan fizikal semata-mata. Yang lebih utama ialah memastikan suasana pembelajaran yang baik, kebajikan pelajar dipelihara dan guru-guru terus mempunyai ruang terbaik untuk mendidik generasi pewaris negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi pada Selasa.
Majlis berkenaan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut Saarani, pembinaan SMTDR Lenggong bukan sekadar menambah sebuah institusi pendidikan baharu, malah mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam membina masa depan yang berpaksikan ilmu, nilai murni dan keluhuran akhlak.
Beliau berkata, perkembangan pendidikan tahfiz di bawah kerajaan negeri bermula sejak tahun 2009 menerusi kelas perintis Program Tahfiz di tiga Sekolah Menengah Agama Negeri iaitu Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah dan Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah.
"Usaha ini terus berkembang sebagai pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak," katanya.

Lahirkan generasi ulul albab
Saarani berkata, pendidikan tahfiz masa kini perlu dilihat dalam skop yang lebih luas kerana ia turut membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka pelbagai bidang profesional.
Katanya, melalui gabungan Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang mengintegrasikan pengajian al-Quran dengan akademik arus perdana, pelajar diberi asas kukuh untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Melalui aliran Sains Tulen dan Pengajian Islam, sekolah ini menyediakan laluan lebih luas kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang profesional.
"Inilah asas kepada hasrat melahirkan generasi ulul albab yang bukan sahaja menghafaz al-Quran, malah menguasai ilmu, berfikiran kritis dan membawa nilai al-Quran dalam kehidupan serta bidang yang diceburi," katanya.
Beliau berkata, generasi yang dilahirkan menerusi sistem tersebut diharap mampu menjadi doktor, jurutera, saintis, pendidik dan pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam membuat keputusan dan berkhidmat kepada masyarakat.

Prestasi akademik terus meningkat
SMTDR Lenggong yang memulakan operasi pada 3 Januari 2012 di tapak sementara sebelum berpindah ke kampus tetap pada Ogos 2020 kini berdiri di kawasan seluas 78,460 meter persegi.
Sekolah itu membimbing 176 pelajar lelaki dengan kekuatan 43 tenaga pengajar.
Hasil usaha berterusan warga sekolah, prestasi akademik SMTDR Lenggong turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 3.28 pada tahun 2023 kepada 2.05 pada tahun 2024 sebelum merekodkan GPS 2.18 pada tahun 2025.
Pencapaian itu meletakkan SMTDR Lenggong sebagai sekolah kedua terbaik dalam kalangan lapan Sekolah Menengah Agama Negeri di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selama dua tahun berturut-turut.

"Pencapaian ini bukan semata-mata ukuran peperiksaan, tetapi hasil kesungguhan pelajar, pengorbanan guru serta sokongan ibu bapa yang sentiasa meletakkan harapan besar terhadap masa depan anak-anak," katanya.
Sehingga kini, lima SMTDR beroperasi di Perak meliputi daerah Manjung di Pulau Pangkor, Kerian (Gunung Semanggol), Hulu Perak (Lenggong), Batang Padang (Tapah) dan Kinta (Tambun).
Perkembangan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memperkukuh pendidikan tahfiz sebagai satu pelaburan strategik dalam melahirkan generasi ulul albab yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan untuk masa depan negeri serta negara.
