
Kejayaan anak bermula dengan kepercayaan & peluang
Kejayaan seorang anak tidak semestinya bermula dengan sasaran besar atau impian untuk meraih pengiktirafan tertinggi.
Kadangkala, ia bermula dengan satu perkara yang sangat sederhana iaitu ibu bapa yang percaya kepada minat anak dan sekolah yang menyediakan ruang untuk bakat itu berkembang.
Baru-baru ini, Nur Alya Zahra Mohamed Maliki atau lebih mesra dipanggil Yaya telah dinobatkan sebagai Johan Murid Cemerlang Kokurikulum Peringkat Negeri Selangor 2025 bagi kategori pelajar perempuan sekolah rendah.
Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan keluarga, malah turut mengharumkan nama Daerah Hulu Langat dan Sekolah Kebangsaan Jalan Tiga (SEJATI), Bandar Baru Bangi, Selangor.
Apa yang menarik, kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang dirancang secara khusus sejak awal.
Sebagai ibu bapa, matlamat utama hanyalah untuk menyokong dan menyantuni minat anak. Tiada sasaran untuk muncul sebagai juara negeri.

Namun, apabila minat diberikan perhatian, bakat diberi ruang dan usaha dilakukan secara konsisten, kejayaan akhirnya hadir sebagai satu bonus yang tidak disangka-sangka.
Pengalaman ini mengingatkan kita bahawa pendidikan yang berkualiti tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata.
Kokurikulum memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan diri, kepimpinan, disiplin, kemahiran sosial dan daya tahan dalam kalangan murid.
Nilai-nilai inilah yang akhirnya melahirkan individu yang seimbang dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Dalam konteks ini, peranan sekolah amat signifikan.
SEJATI, yang telah menjadi tempat pembelajaran lima orang anak dalam keluarga ini sejak berpindah dari Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi 14 tahun lalu, membuktikan bahawa kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sekadar terletak pada kemudahan fizikal, tetapi pada budaya sekolah yang dibina secara berterusan.
Pembentukan sahsiah murid melalui amalan 3S iaitu Salam, Senyum dan Sapa menjadi antara kekuatan utama sekolah tersebut.
Nilai adab dan akhlak diterapkan seiring dengan pencapaian akademik dan kokurikulum. Hasilnya, lahirlah murid yang bukan sahaja cemerlang dari sudut prestasi, malah mempunyai keperibadian yang baik.
Kejayaan ini juga tidak dapat dipisahkan daripada faktor kepimpinan sekolah yang berwibawa.
Bermula daripada era Norhainei Abu Bakar, Tokoh Guru Kebangsaan 2020, disusuli Rozita Ahmad dan kini Suminah Kasolang, budaya kecemerlangan terus diperkasakan.
Kepimpinan yang membuka ruang kerjasama antara sekolah dan ibu bapa telah mewujudkan ekosistem pendidikan yang kondusif untuk perkembangan murid.
Lebih penting lagi, kisah ini menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak masih relevan dan memberi impak besar.

Dari penyertaan aktif dalam PIBG hinggalah kepada usaha mendokumentasikan pencalonan anak sehingga menghasilkan lebih 130 muka surat bahan sokongan, semuanya menggambarkan komitmen yang tinggi terhadap perkembangan potensi anak.
Hakikatnya, setiap anak memiliki keistimewaan tersendiri. Ada yang menyerlah dalam akademik, ada yang cemerlang dalam sukan, kepimpinan, kesenian atau aktiviti beruniform.
Tanggungjawab ibu bapa dan pendidik bukanlah menentukan sejauh mana anak perlu berjaya, tetapi menyediakan peluang terbaik agar mereka dapat menemui dan mengembangkan potensi diri.
Kejayaan Yaya menjadi bukti bahawa apabila keluarga dan sekolah bergerak seiring, bakat anak dapat berkembang melepasi jangkaan.
Pengiktirafan yang diterima hari ini bukanlah penamat perjalanan, tetapi titik permulaan kepada pencapaian yang lebih besar pada masa hadapan.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada ibu bapa untuk terus mempercayai kebolehan anak-anak, menyokong minat mereka dan memberi ruang untuk mereka berkembang mengikut potensi masing-masing.
Kadangkala, kejayaan terbesar anak-anak bermula apabila orang dewasa di sekeliling mereka memilih untuk percaya.
Kedua ibu bapa Yaya adalah seperti keluarga lain yang terpaksa membahagikan masa dan sumber kepada keluarga dan kerjaya secara sembang.
Mereka perlu berganding bahu membuat perancangan teliti dalam aspek penjadualan kelas akademik, latihan kokurikulum, kelas mengaji dan fardhu ain serta latihan intensif jurulatih profesional di luar waktu sekolah.
Sudah pasti ada banyak masa cuti rehat hujung minggu dan waktu malam yang terpaksa dikorbankan. Ia menuntut ketabahan dan ketahanan fizikal serta mental kepada Yaya dan ahli keluarga jua.

Penghargaan paling besar pastinya kepada kepimpinan sekolah dan barisan guru yang tidak pernah kenal istilah penat atau putus asa.
Suminah selaku Guru Besar yang dikenali sebagai Bonda oleh Yaya dan rakan-rakan sekolah sentiasa bersikap positif dan memberikan sokongan.
Malah kadang-kadang Bonda sendiri yang menjadi drebar mengangkut peserta dan menjadi jurumekap sebelum persembahan dimulakan.
Penulis: Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my