
Kehadiran Pengarah BSKK suntik semangat atlet di Kejohanan Memanah MSSM 2026
Kehadiran Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Ithnin Mahadi dalam Kejohanan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2026 menjadi bukti komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa pembangunan sukan sekolah.
Kedatangan beliau bukan sahaja memeriahkan kejohanan, malah memberi suntikan motivasi kepada para atlet yang sedang berjuang mengharumkan nama negeri masing-masing di pentas kebangsaan.
Menurut perkongsian Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menerusi Facebook, kejohanan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Shah Alam, Selangor itu menghimpunkan atlet memanah sekolah dari seluruh negara yang bersaing bagi merebut gelaran terbaik dalam kategori masing-masing.

"Pengarah BSKK telah meninjau perjalanan pertandingan dan menyaksikan sendiri kesungguhan dan semangat juang yang dipamerkan oleh para peserta.
"Beliau juga berkesempatan menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada pemenang Acara Jarak 1 dan Jarak 2 bagi semua kategori yang dipertandingkan pada hari pertama kejohanan.
"Setiap pingat yang diterima bukan sekadar simbol kemenangan, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap usaha gigih, disiplin dan pengorbanan yang dilakukan oleh atlet dalam mengejar impian mereka," menurut hantaran itu.

Sementara itu, penganjuran Kejohanan Memanah MSSM 2026 amat selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang menekankan pembangunan murid secara holistik.
Melalui penglibatan dalam sukan, murid bukan sahaja berpeluang mengembangkan bakat, malah dapat membina keyakinan diri, semangat kepimpinan dan daya tahan yang tinggi.
Justeru, kejohanan seperti ini dilihat mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki sahsiah terpuji dan semangat juang yang kental.



