
Beli barang lain, dapat barang lain: Bagaimana Islam melindungi hak pengguna?
Kini, perkembangan teknologi digital telah mengubah cara Masyarakat membeli dan menjual barangan. Pengguna hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk membeli pelbagai produk melalui platform e-dagang seperti Shopee, Tiktok Shop dan Lazada. Kemudahan ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah menawarkan pelbagai pilihan produk dengan harga yang kompetitif.
Namun begitu, peningkatan aktiviti jual beli dalam talian turut membawa pelbagai cabaran. Antara isu yang sering dibangkitkan ialah pengguna menerima barang yang tidak sama seperti yang diiklankan. Ada yang membeli pakaian tetapi menerima produk yang berkualiti rendah, manakala ada juga yang menerima barangan yang langsung berbeza daripada pesanan asal.
Fenomena 'beli barang lain, dapat barang lain' semakin menjadi rungutan pengguna di media social dan menimbulkan persoalan tentang etika perniagaan dalam era digital. Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebanyak 33,400 aduan berkaitan penipuan dalam talian direkodkan bagi tempoh 2023 hingga 2025, termasuk kes melibatkan kegagalan menerimma barang yang dijanjikan serta penerimaan produk yang tidak menepati iklan.
Dari perspektif ekonomi Islam, isu ini bukan sekadar masalah perniagaan, tetapi turut melibatkan soal amanah, kejujuran dan keadilan dalam urusan muamalat.
Kejujuran Sebagai Asas Perniagaan Dalam Islam
Islam meletakkan kejujuran sebagai asas utama dalam setiap urusan ekonomi. Peniaga diwajibkan memberikan maklumat yang tepat mengenai produk yang dijual serta mengelakkan sebarang unsur penipuan yang boleh mengelirukan pengguna.
Dalam Islam, keuntungan yang diperoleh melalui cara yang tidak jujur bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah menghilangkan keberkatan dalam perniagaan. Oleh itu, peniaga perlu memastikan gambar, spesifikasi dan kualiti produk yang dipaparkan Adalah selaras dengan produk sebenar yang akan diterima oleh pembeli.
Rasulullah SAW juga menegaskan kepentingan kejujuran dalam perniagaan melalui sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami.”
(Hadis Riwayat Muslim no. 102)
Kisah di sebalik Hadis diceritakan bahawa suatu hari, Rasulullah SAW berjalan melepasi satu longgokan makanan. Baginda memasukkan tangan ke dalam longgokan itu dan mendapati bahagian dalamnya basah. Apabila ditanya, pemilik makanan menjawab bahawa ia basah terkena hujan. Baginda menegur: “Mengapa kamu tidak meletakkan bahagian yang basah itu di atas makanan agar orang ramai dapat melihatnya?”. Kisah Hadis ini menunjukkan bahawa penipuan dalam urusan jual beli merupakan perbuatan yang bertentangan dengan nilai Islam dan boleh merosakkan hubungan antara peniaga dan pengguna.
Larangan Grarar dan Tadlis Dalam Muamalat
Ekonomi Islam melarang unsur gharar, iaitu ketidakjelasan atau ketidakpastian yang boleh menyebabkan salah satu pihak mengalami kerugian. Dalam konteks jual beli atas talian, gharar boleh berlaku apabila maklumat produk tidak lengkap, gambar terlalu mengelirukan atau spesifikasi sebenar disembunyikan.
Selain itu, Islam juga melarang tadlis, iaitu perbuatan menyembunyikan kecacatan atau memberikan Gambaran palsu terhadap sesuatu produk. Sebagai contoh, seorang peniaga memaparkan gambar telefon pintar asli tetapi menghatar produk tiruan kepada pelanggan. Tindakan tersebut jelas menyalahi prinsip muamalat Islam kerana melibatkan unsur penipuan dan ketidakadilan.
Larangan terhadap gharar dan tadlis bertujuan melindungi hak kedua-dua pihak dalam transaksi serta memastikan urusan ekonomi berjalan secara telus dan adil.
Kesan Penipuan Terhadap Pengguna dan Ekonomi
Fenomena menerima barang yang berbeza daripada pesanan bukan Sahaja menyebabkan kerugian kepada pengguna,malah memberi Kesan yang lebih luas kepada ekonomi.
Pertama, pengguna mengalami kerugian kewangan kerana wang yang dibelanjakan tidak setimpal dengan produk yang diterima. Dalam sesetengah keadaan, proses pemulangan barang juga mengambil masa yang panjang dan menimbulkan kesulitan.
Kedua, kepercayaan Masyarakat terhadap perniagaan dalam talian akan semakin merosot. Apabila pengguna sering berdepan pengalaman negatif, mereka menjadi lebih berhati-hati untuk melakukan pembelian secara digital.
Ketiga, Tindakan segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan reputasi peniaga lain yang menjalankan perniagaan secara jujur. Akibatnya, keseluruhan ekosistem e-dagang boleh terjejas walaupun majoriti peniaga beroperasi secara beretika.
Dari sudut ekonomi Islam, situasi ini bercanggah dengan prinsip keadilan dan kesejahteraan social yang menjadi matmalat utama system ekonomi Islam.
Bagaimana Islam Melindungi Hak Pengguna?
Islam menyediakan beberapa mekanisme bagi melindungi hak pengguna dalam urusan jual beli. Antaranya ialah konsep khiyar, iaitu hak yang diberikan kepada pembeli untuk membuat pilihan sama ada meneruskan atau membatalkan sesuatu transaksi apabila terdapat kecacatan atau ketidakpatuhan terhadap syarat yang dipersetujui.
Melalui konsep ini, pengguna mempunyai hak untuk menuntut pemulangan wang atau menolak produk yang tidak memenuhi spesifikasi yang dijanjikan. Prinsip ini menunjukkan bahawa Islam sangat mengambil berat tentang hak pengguna dan tidak membenarkan mereka dizalimi oleh pihak peniaga.
Selain itu, Islam turut menekankan konsep amanah dan ihsan dalam perniagaan. Peniaga bukan Sahaja perlu mematuhi kontrak jual beli, malah digalakkan mejberikan layanan terbaik kepada pelanggan.
Sikap bertanggungjawab dan pengguna serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap terhadap ekonomi digital.
Langkah Mengatasi isu penipuan dalam talian
Bagi mengurangkan kes penipuan dalam jual beli atas talian, beberapa langkah perlu diambil oleh semua pihak.
Pertama, peniaga perlu mengamalkan etika perniagaan Islam dengan memberikan maklumat produk yang tepat dan telus. Keuntungan tidak seharusnya diperolehi melalui penipuan atau manipulasi maklumat.
Kedua, pengguna perlu lebih berhati-hati sebelum membuat pembelian. Mereka boleh menyemak ulasan pelanggan, penilaian kedai dan polisi pemulangan barang sebelum membuat Keputusan.
Ketiga, platform e-dagang perlu memperkukuhkan system pemantauan dan mengambil Tindakan tegas terhadap peniaga yang melakukan penipuan. Langkah ini penting bagi memastikan persekitaran perniagaan yang selamat dan dipercayai.
Akhir sekali, Pendidikan mengenai etika perniagaan Islam perlu diperkasakan agar Masyarakat memahami bahawa kejayaan perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan, tetapi juga melalui integriti dan keberkatan.
Penutup
Fenomena “beli barang lain, dapat barang lain” merupakan antara cabaran utama dalam dunia perniagaan digital masa kini. Walaupun teknologi telah memudahkan urusan jual beli, nilai-nilai asas seperti kejujuran, amanah dan keadilan tetap tidak boleh diketepikan.
Ekonomi Islam menawarkan panduan yang jelas dalam menangani isu ini melalui larangan terhadap penipuan, gharar dan tadlis serta penekanan terhadap perlindungan hak pengguna. Jika prinsip-prinsip ini diamalkan oleh semua pihak, urusan jual beli atas talian akan menjadi lebih telus, adil dan memberi manfaat kepada Masyarakat secara keseluruhan.
Sesungguhnya, perniagaan yang Berjaya menurut Islam bukanlah perniagaan yang memperoleh keuntungan semata-mata, tetapi perniagaan yang memperoleh keberkatan serta menjaga hak setiap pihak yang terlibat.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Abdul ‘Alim Muhammad Ridhwan
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli