Barisan penerima anugerah bersama pihak pengurusan selepas Majlis Konvokesyen Wilmington Metropolitan University baru-baru ini.
Barisan penerima anugerah bersama pihak pengurusan selepas Majlis Konvokesyen Wilmington Metropolitan University baru-baru ini.

DPDDM, Wilmington Metropolitan University meterai MoU perkasa modal insan dan usahawan tempatan

22 Jun 2026 01:00pm

Satu lagi langkah signifikan dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan memperkasa komuniti usahawan tempatan direalisasikan apabila Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) dan Wilmington Metropolitan University, California, Amerika Syarikat memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini.

Pemeteraian MoU tersebut berlangsung dalam suasana penuh gemilang sempena Majlis Konvokesyen Wilmington Metropolitan University yang diadakan di Golden Palace of Horses, Kuala Lumpur.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Chancellor Wilmington Metropolitan University merangkap Penasihat Utama Diraja DPDDM, Yang Amat Mulia (Y.A.M.) Tunku Azwil Tunku Abdul Razak bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wilmington Metropolitan University, Profesor Dr Lee.

Presiden DPDDM, Datuk (Dr) Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama strategik itu dijangka membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua organisasi, sekali gus memberi manfaat kepada sektor pendidikan tinggi dan komuniti perniagaan.

No Image Caption

Menurut beliau, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan melalui kerjasama tersebut, termasuk dalam bidang pembangunan modal insan, pendidikan profesional, keusahawanan, penyelidikan serta jaringan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Diharapkan kerjasama strategik ini dapat memberi manfaat kepada institusi pendidikan tinggi dan komuniti perniagaan menerusi pelbagai program yang menyokong pembangunan modal insan, pendidikan profesional, keusahawanan dan penyelidikan.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen DPDDM dalam memperkasakan usahawan tempatan, kami juga berbangga apabila beberapa tokoh usahawan DPDDM dipilih menerima pengiktirafan akademik dan penghormatan khas atas sumbangan cemerlang mereka kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, beberapa ahli kehormat DPDDM serta tokoh yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang masing-masing menerima penganugerahan Doktor Kehormat (Honorary Doctorate) dan Industrial Doctorate.

No Image Caption

Antara penerima anugerah tersebut ialah:

1) Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Penasihat Undang-Undang DPDDM, (Dr) Ahmad Nazib Johari - Doktor Kehormat dalam bidang Undang-Undang dan Sains Politik.

2) Pengerusi DPDDM, Datuk (Dr) Aisy Wafiq Leong Abdullah - Doktor Kehormat dalam bidang Perniagaan dan Keusahawanan.

3) Presiden DPDDM, Datuk (Dr) Nor Hasnal Hashmi - Doktor Kehormat dalam bidang Perniagaan dan Keusahawanan.

4) YDP DPDDM Sabah, (Dr) Jamilah - Doktor Kehormat dalam bidang Keusahawanan.

5) (Dr) Kartina Kamaruzaman - Industrial Doctorate dalam bidang Industri Estetik dan Kecantikan.

6) Setiausaha Kehormat DPDDM, (Dr) Awangku Azrie Awang Dzulkarnain - Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Perniagaan.

7) Eksekutif Korporat Perhubungan Awam Dewan Pendidikan Malaysia, (Dr) Datuk I.S. Muhamad Faizal Abd Rahman - Doktor Kehormat dalam bidang Sains Politik.

Majlis berprestij itu turut disaksikan barisan Ahli Majlis Tertinggi DPDDM, pemimpin industri serta tokoh korporat terkemuka negara.

Sementara itu, Provost Wilmington Metropolitan University, Profesor Dr Richard McChullag menyifatkan kerjasama strategik tersebut sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dalam bidang pendidikan, pembangunan kepimpinan, keusahawanan, jaringan perniagaan dan pembangunan profesional.

"Kerjasama ini bertujuan membuka peluang yang lebih luas serta memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi dan masyarakat secara keseluruhan.

"Pihak universiti amat menghargai peranan penting yang dimainkan oleh DPDDM dalam memperkasa tokoh kepimpinan, usahawan, profesional dan komuniti perniagaan di Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta hubungan antarabangsa," katanya.

No Image Caption

Melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan bekerjasama mempromosikan kecemerlangan pendidikan, inovasi dan pembangunan komuniti, selain memperkukuh hubungan strategik antara Wilmington Metropolitan University dan DPDDM demi manfaat jangka panjang kedua-dua institusi.

Kerjasama itu juga membuka peluang kepada masyarakat, golongan profesional dan usahawan untuk mengikuti program pendidikan profesional yang ditawarkan oleh Wilmington Metropolitan University bermula daripada peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana hingga PhD.

Program-program tersebut dirangka bagi memenuhi keperluan industri semasa serta menyediakan laluan pembelajaran yang fleksibel kepada individu berpengalaman untuk memperoleh kelayakan akademik yang diiktiraf melalui pendekatan pembelajaran sepanjang hayat dan pengiktirafan pengalaman industri.

Inisiatif berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik bagi memartabatkan pendidikan, memperkukuh kepimpinan, memperkasa usahawan serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Diharapkan jalinan kerjasama ini akan membuka lebih banyak ruang inovasi dan peluang pembangunan pada masa hadapan, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat, institusi pendidikan serta komuniti perniagaan di Malaysia.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp