Onn Hafiz dan Mohd Fared (enam dari kiri) menerima buku kod etika guru agama Johor yang disampaikan oleh pelajar sekolah agama sebagai gimik pelancaran pada Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri kali ke-28 dan Perasmian Penutup Program Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Johor 2026 di Stadium Tertutup Arena Larkin.
Onn Hafiz dan Mohd Fared (enam dari kiri) menerima buku kod etika guru agama Johor yang disampaikan oleh pelajar sekolah agama sebagai gimik pelancaran pada Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri kali ke-28 dan Perasmian Penutup Program Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Johor 2026 di Stadium Tertutup Arena Larkin.

Johor perluas Sekolah Rintis Bangsa Johor ke pendidikan agama - Onn Hafiz

03 Jul 2026 02:20pm

Kerajaan Johor memperluas inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke pendidikan agama, menerusi penubuhan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ) yang pertama tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu merupakan cetusan ilham Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri secara menyeluruh.

"Alhamdulillah, dari segi SRBJ, ini cetusan ilham daripada Pemangku Sultan Johor. Kita dah buat empat sekolah, dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah. Dan kita akan buat satu untuk sekolah agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor ke-28 dan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri di Stadium Tertutup Arena Larkin. 

Turut hadir Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid serta Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berhenti setakat itu, malah akan memperluas pendekatan sama ke peringkat pendidikan awal kanak-kanak menerusi penubuhan sebuah tadika rintis.

Terdahulu, Mohd Fared mengumumkan kerajaan Johor meluluskan pembinaan SARBJ, yang pertama di Kota Iskandar tahun ini, sekali gus memperluas inisiatif SARBJ ke institusi pendidikan agama di negeri itu.

Empat sekolah itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, selain dua lagi sekolah di daerah Johor Bahru iaitu SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara.

Inisiatif SRBJ diperkenalkan bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri menerusi pembelajaran digital, penguasaan pelbagai bahasa, pembangunan sahsiah, pemerkasaan guru serta penyediaan kemudahan pendidikan bertaraf tinggi.

Pembinaan SARBJ pula dijangka melengkapkan usaha kerajaan negeri memperluas pendekatan tersebut ke dalam sistem pendidikan agama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp