Dapatan pentaksiran itu turut membantu KPM mengenal pasti jurang pembelajaran pada peringkat nasional serta menilai keberkesanan ekosistem pendidikan bagi merancang penambahbaikan dasar secara lebih strategik dan berasaskan bukti.
Dapatan pentaksiran itu turut membantu KPM mengenal pasti jurang pembelajaran pada peringkat nasional serta menilai keberkesanan ekosistem pendidikan bagi merancang penambahbaikan dasar secara lebih strategik dan berasaskan bukti.

Matriks Tahun 4 perkukuh intervensi awal murid

06 Jul 2026 05:15pm

Matriks Pembelajaran Tahun 4 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Okt ini akan dilaksanakan berasaskan konsep pentaksiran untuk pembelajaran bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid, sekali gus membolehkan intervensi awal dan sokongan berfokus dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan (KPM), Ab Aziz Mamat, berkata pendekatan itu membolehkan guru, pihak sekolah dan ibu bapa memperoleh maklumat yang diperlukan untuk mengenal pasti kelemahan murid serta memperkukuh proses pembelajaran masing-masing, sekali gus memastikan murid lebih bersedia untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat seterusnya.

"Apabila kita menilai seseorang murid pada Tahun 4, kita mempunyai ruang dan peluang untuk membantu mereka apabila melangkah ke Tahun 5 dan seterusnya Tahun 6.

"Data yang diperoleh menerusi Matriks Pembelajaran Tahun 4 itu boleh digunakan oleh pihak sekolah untuk merancang dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian bagi membantu murid yang memerlukan sokongan pembelajaran.

"Ibu bapa juga dapat mengenal pasti ruang penambahbaikan atau bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada anak masing-masing sebelum mereka melangkah ke peringkat pendidikan menengah," katanya.

Beliau berkata, keputusan Matriks Pembelajaran Tahun 4 tidak akan digunakan untuk membandingkan pencapaian antara murid atau sekolah, sebaliknya berperanan sebagai instrumen diagnostik bagi membantu guru mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid serta merancang tindakan susulan yang bersesuaian.

"Matlamat kita ialah keputusan Matriks Pembelajaran Tahun 4 sama sekali tidak akan digunakan untuk membandingkan pencapaian antara seseorang murid dengan murid lain atau antara sebuah sekolah dengan sekolah yang lain.

"Data yang diperoleh digunakan bagi tujuan intervensi sama ada pada peringkat murid mahupun sekolah, bukannya untuk membandingkan pencapaian antara sekolah A, sekolah B atau sekolah C kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian," tegasnya.

Beliau berkata, dapatan pentaksiran itu turut membantu KPM mengenal pasti jurang pembelajaran pada peringkat nasional serta menilai keberkesanan ekosistem pendidikan bagi merancang penambahbaikan dasar secara lebih strategik dan berasaskan bukti.

Artikel Berkaitan:

"Dapatan pentaksiran ini dapat membantu memperkukuh pemantauan mutu pendidikan, mengesan jurang pembelajaran pada peringkat awal, termasuk antara sekolah di bandar dengan luar bandar atau sesuatu lokaliti tertentu, selain memastikan setiap murid menerima sokongan pembelajaran yang bersesuaian mengikut keperluan dan potensi masing-masing.

"Ini bermakna sekiranya terdapat murid yang dikenal pasti memerlukan intervensi lebih menyeluruh, pihak sekolah bersama-sama guru bertanggungjawab memastikan kelemahan itu dapat diatasi sebelum mereka menamatkan persekolahan rendah dan melangkah ke Tingkatan 1," katanya.

Dalam pada itu, Ab Aziz berkata, Matriks Pembelajaran Tahun 4 diperkenalkan selepas KPM mengambil kira pandangan serta kebimbangan pelbagai pihak, termasuk guru dan ibu bapa, mengenai keperluan mewujudkan mekanisme pentaksiran standard bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid.

Beliau berkata, KPM turut mengambil maklum polemik yang timbul berhubung pencapaian murid apabila melangkah ke sekolah menengah, termasuk kecenderungan berlakunya sikap saling menyalahkan antara guru sekolah rendah dengan sekolah menengah.

"Kita mendengar pelbagai pandangan menerusi forum dan sesi libat urus yang bersesuaian. Akhirnya kita memutuskan bahawa kita tidak akan mengembalikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Sebaliknya, fokus kita ketika ini adalah untuk membangunkan potensi dan kompetensi setiap murid dalam sistem pendidikan negara.

"Itulah sebabnya menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, kita memperkenalkan Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 bagi mengatasi kelemahan yang dikenal pasti, di samping mempersiapkan generasi masa depan Malaysia untuk berdepan cabaran global yang semakin kompleks," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp