Didoakan Atif (kiri) sentiasa dipermudahkan urusan serta meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Didoakan Atif (kiri) sentiasa dipermudahkan urusan serta meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Atif raih tempat pertama bidang Dirasat Quraniyyah di Maghribi, tahniah anak muda Malaysia!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Jul 2026 12:23pm

Anak muda dikenali Atif Ahmad Baha', mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul tempat pertama dalam bidang Dirasat Quraniyyah di Universiti al-Qarawiyyin, Maahad Muhammad VI lil Qiraat wa Dirasat al-Quraniyyah, Maghribi baru-baru ini.

Kejayaan membanggakan itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Persatuan Mahasiswa Malaysia Maghribi serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menerusi hantaran yang dimuat naik, Mohd Na'im menyifatkan pencapaian Atif bukan sekadar kejayaan peribadi, malah menjadi sinar yang menyuntik semangat kepada ramai pihak.

"Kejayaan dirangkul membuktikan bahawa usaha yang gigih, keikhlasan hati dan ketekunan berterusan mampu membawa seseorang mencapai puncak kecemerlangan.

"Semoga ia menjadi sumber inspirasi kepada seluruh mahasiswa Malaysia di bumi Maghribi untuk terus bersemangat menuntut ilmu dengan penuh dedikasi, tanpa mengenal erti jemu dan putus asa.

"Iringan doa dipanjatkan agar ALLAH SWT memberkati setiap langkah dan usaha yang dicurahkan, mengurniakan ilmu yang bermanfaat lagi barakah serta menjadikan kejayaan ini sebagai titik tolak kepada kecemerlangan yang lebih besar pada masa hadapan," katanya.

Manakala Dr Zulkifli menzahirkan ucapan tahniah kepada Atif atas pencapaian cemerlang itu.

Beliau berharap kejayaan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa Malaysia di Maghribi untuk terus menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan, keikhlasan dan istiqamah.

Untuk rekod, Dirasat Quraniyyah merupakan bidang pengajian yang memfokuskan kepada kajian al-Quran secara mendalam meliputi aspek qiraat, tafsir, ulum al-Quran serta pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan pengajian al-Quran.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp