Pencapaian Danish menjadi bukti bahawa usaha berterusan pihak maktab dalam membudayakan al-Quran dalam kalangan pelajar membuahkan hasil.
Pencapaian Danish menjadi bukti bahawa usaha berterusan pihak maktab dalam membudayakan al-Quran dalam kalangan pelajar membuahkan hasil.

Pelajar Tingkatan 2 MRSM Gemencheh raih tempat ketiga pertandingan hafazan al-Quran! 'Alhamdulillah, tahniah anak soleh' - Netizen

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
15 Jun 2026 02:17pm

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan terus membuktikan kecemerlangannya dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai penguasaan ilmu agama yang baik.

Melalui pelbagai program pengukuhan hafazan serta bimbingan berterusan daripada guru-guru, ramai pelajar maktab itu berjaya menyerlah dalam pertandingan berkaitan al-Quran di peringkat negeri dan kebangsaan.

Terbaharu, pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Danish Durrani Mohd Sukori mengharumkan nama MRSM Gemencheh apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam 18th Itqan National Quranic Memorization Competition 2026 bagi kategori hafazan 1 hingga 5 Juzu'.

Kejayaan tersebut melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta sijil penghargaan.

Pencapaian Danish menjadi bukti bahawa usaha berterusan pihak maktab dalam membudayakan al-Quran dalam kalangan pelajar membuahkan hasil.

Walaupun masih muda, beliau berjaya menunjukkan komitmen tinggi dalam menghafaz dan mengulang hafazan sehingga mampu bersaing dengan peserta-peserta lain dari seluruh negara.

Malah, kejayaan itu turut didorong oleh bimbingan guru tasmiknya, Ustaz Firdaus Bakrin yang sentiasa memberikan tunjuk ajar dan dorongan sepanjang persediaan menghadapi pertandingan.

Menariknya, perkongsian kejayaan Danish di media sosial turut mendapat perhatian warga maya yang rata-ratanya meluahkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian tersebut.

Antara komen yang ditinggalkan termasuklah ucapan seperti 'Alhamdulillah, tahniah anak soleh' serta doa agar Danish terus berjaya pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak membimbing beliau sehingga mencapai kejayaan membanggakan itu.

Untuk rekod, 18th Itqan National Quranic Memorization Competition 2026 merupakan pertandingan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan yang bertujuan menggalakkan generasi muda mendekati, menghafaz dan menghayati al-Quran.

Program tersebut turut menjadi platform kepada peserta untuk menguji kemampuan hafazan, membina keyakinan diri serta menimba pengalaman bersama pencinta al-Quran dari pelbagai institusi pendidikan.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp