Mendapatkan bantuan kaunselor bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk kebertanggungjawaban terhadap kesihatan diri. Foto: Canva. Gambar kecil: Siti Fatimah
Mendapatkan bantuan kaunselor bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk kebertanggungjawaban terhadap kesihatan diri. Foto: Canva. Gambar kecil: Siti Fatimah

Kaunseling bukan sekadar memberi nasihat

22 Jul 2026 04:01pm

"Tak perlulah jumpa kaunselor. Cerita sahaja dengan kawan, nanti lega." 

Ungkapan sebegini masih sering didengari apabila seseorang berhasrat mendapatkan perkhidmatan kaunseling. Bagi sebahagian masyarakat, kaunseling masih dianggap sekadar sesi mendengar luahan sebelum kaunselor memberikan beberapa nasihat untuk menyelesaikan masalah. Persepsi ini bukan sahaja kurang tepat, malah menyebabkan ramai individu menangguhkan usaha mendapatkan bantuan profesional sehingga masalah menjadi semakin rumit.

Hakikatnya, kaunseling jauh lebih besar daripada sekadar memberi nasihat. Ia ialah satu proses bantuan profesional yang berasaskan teori psikologi, penyelidikan saintifik, kemahiran terapeutik dan kod etika yang ketat. Seorang kaunselor tidak berperanan menentukan jalan hidup klien atau memutuskan apa yang perlu dilakukan. Sebaliknya, kaunselor bertindak sebagai fasilitator yang membantu klien memahami dirinya, mengenal pasti punca sebenar masalah, mengurus emosi dengan lebih baik dan membuat keputusan secara rasional serta bertanggungjawab.

Perbezaan paling ketara antara nasihat dan kaunseling ialah pendekatannya. Nasihat lazimnya lahir daripada pengalaman peribadi, pandangan atau kepercayaan seseorang. Ia mungkin sesuai dalam situasi tertentu, tetapi tidak semestinya memenuhi keperluan individu yang berdepan konflik emosi atau psikologi. Kaunseling pula merupakan proses sistematik yang memberi ruang kepada klien meneroka pemikiran, emosi dan tingkah laku tanpa rasa takut dihukum atau dipersalahkan.

Seorang kaunselor profesional tidak tergesa-gesa menawarkan penyelesaian. Sebaliknya, mereka menggunakan kemahiran seperti mendengar secara aktif, refleksi, penjelasan, penyoalan terapeutik dan pelbagai pendekatan psikologi bagi membantu klien menemui jawapan yang paling sesuai dengan nilai, keupayaan dan realiti kehidupannya sendiri. Pendekatan ini bukan sahaja menyelesaikan masalah semasa, malah meningkatkan keupayaan individu menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Sebagai contoh, seorang pekerja mungkin datang dengan aduan bahawa dirinya sudah hilang motivasi dan ingin berhenti kerja. Jika sekadar diberi nasihat, mungkin dia disuruh bercuti, mencari pekerjaan baharu atau bersabar. Namun melalui proses kaunseling, masalah sebenar mungkin berpunca daripada keletihan melampau (burnout), konflik dengan penyelia, tekanan prestasi, gangguan kebimbangan atau krisis identiti kerjaya. Apabila punca sebenar dikenal pasti, intervensi yang lebih tepat dapat dirancang.

Situasi yang sama berlaku dalam kalangan remaja. Ada ibu bapa menyangka anak mereka berubah menjadi degil, malas atau suka menyendiri. Namun selepas melalui sesi kaunseling, didapati perubahan tingkah laku itu sebenarnya berkait dengan pengalaman dibuli, tekanan akademik, konflik keluarga, trauma atau simptom awal gangguan kesihatan mental. Tanpa bantuan profesional, tanda-tanda awal ini mungkin terus diabaikan sehingga membawa implikasi yang lebih serius.

Malah, ramai yang masih beranggapan bahawa hanya individu yang mengalami gangguan mental memerlukan kaunseling. Hakikatnya, sesi kaunseling juga membantu individu yang ingin meningkatkan kesejahteraan hidup, membina keyakinan diri, mengurus tekanan, memperbaiki hubungan kekeluargaan, meningkatkan prestasi kerja, mengurus perubahan kerjaya dan membuat keputusan penting dalam kehidupan.

Dalam dunia yang semakin kompleks, tekanan hidup datang daripada pelbagai arah. Kos sara hidup yang meningkat, beban pekerjaan, persaingan kerjaya, konflik rumah tangga, cabaran keibubapaan serta pengaruh media sosial memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan psikologi masyarakat. Tidak semua individu mempunyai mekanisme daya tindak yang sama. Justeru, mendapatkan bantuan kaunselor bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk kebertanggungjawaban terhadap kesihatan diri.

Maklumat penulis:

Pegawai Psikologi Kanan (Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi), Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani K.B., P.A

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp