
10 minit pujuk pelajar bertindak agresif di sekolah
Detik cemas menyelamatkan pelajar perempuan berusia 14 tahun yang bertindak agresif di sebuah sekolah menengah agama berakhir selepas berjaya dipujuk pada Selasa.
Tindakan pantas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berjaya menenangkan remaja itu yang berada dalam keadaan beremosi di tingkat dua bangunan sekolah tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Azli mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk dan meredakan emosi pelajar berkenaan yang dipercayai mengalami tekanan dan kemurungan.
Menceritakan kembali insiden berkenaan, Azli berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi, beliau mendapati pelajar terbabit berada dalam keadaan emosi yang sangat tidak stabil sambil memegang objek tajam.
"Semasa sampai pelajar ini berada dalam keadaan tertekan dan tidak tenteram.
"Saya berusaha menghampiri sambil memujuknya secara perlahan-lahan. Selepas dia berjaya ditenangkan, saya kemudian berjaya membawa pelajar berkenaan ke kawasan yang lebih selamat," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.33 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera bersama kekuatan tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Tinggi I, Yusmizan Yusof terus dikejarkan ke lokasi bagi membantu kawalan keselamatan.
"Pasukan bomba tiba di sekolah berkenaan kira-kira dua minit kemudian bagi mengambil tindakan kawalan dan persediaan keselamatan di tempat kejadian.
"Maklumat awal daripada pihak sekolah memaklumkan pelajar berkenaan dipercayai meluahkan tekanan emosi yang dialaminya menerusi penulisan dalam sebuah buku latihan," katanya.
Tambah beliau, operasi berkenaan turut melibatkan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
