Dr Giovanna menjalankan kerja lapangan di tapak pokok bakau dalam usaha mengekalkan kelestarian ekosistem.
Dr Giovanna menjalankan kerja lapangan di tapak pokok bakau dalam usaha mengekalkan kelestarian ekosistem.

Dua penyelidik UMT terima geran antarabangsa RM3.9 juta bagi pemulihan ekosistem bakau

29 Jul 2026 01:08pm

Dua penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya memperoleh geran penyelidikan antarabangsa bernilai £714,000 (kira-kira RM3.9 juta) daripada nilai keseluruhan geran berjumlah RM13.5 juta bagi melaksanakan projek pemulihan ekosistem bakau di Malaysia yang memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti pesisir.

Penyelidikan bertajuk REVIVE: Just Restoration and Equitable Value Chains for Inclusive, Viable Mangrove Ecosystems: The Case of Malaysia (Pemuliharaan dan Pembangunan Rantaian Nilai Saksama bagi Memperkasa Ekosistem Bakau yang Inklusif, Berdaya Tahan dan Mampan di Malaysia) itu akan dilaksanakan selama tiga tahun bermula Julai 2026 hingga Jun 2029 menerusi pembiayaan Global Centre on Biodiversity for Climate di bawah Department for Environment, Food and Rural Affairs (DEFRA), United Kingdom.

Projek berkenaan dijalankan oleh dua penyelidik UMT iaitu Profesor Madya Dr Behara Satyanarayana dari Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) serta Dr Giovanna Wolswijk dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin.

Menurut Dr Giovanna, projek penyelidikan itu menumpukan tiga kawasan bakau utama negara iaitu Hutan Simpan Paya Bakau Matang, Perak; Sungai Acheh dan Sungai Chenaam, Pulau Pinang serta Taman Negeri Wetland Setiu, Terengganu bagi membangunkan model pemulihan bakau yang bukan sahaja memulihkan ekosistem, malah meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti setempat.

"Saya bersyukur atas penerimaan geran ini dan projek penyelidikan ini akan dilaksanakan secara bersama-sama sembilan ahli kumpulan yang terdiri dari Universiti Kebangsaan Malaysia, University of Manchester, University of Warwick, Cardiff University dan Penang Inshore Fishermen Welfare Association (PIFWA)," katanya. 

Katanya, pemulihan bakau perlu dilaksanakan secara holistik dengan menggabungkan sains, penglibatan komuniti dan tadbir urus yang inklusif supaya manfaat ekosistem dapat dikongsi secara adil.

"Bakau bukan sekadar benteng semula jadi yang melindungi pantai dan menyimpan karbon biru, malah menjadi sumber kehidupan kepada ribuan komuniti pesisir. Melalui REVIVE, kami ingin memastikan usaha pemulihan memberi manfaat kepada alam sekitar dan pada masa yang sama memperkasakan komuniti melalui peluang ekonomi yang lebih mampan serta rantaian nilai yang lebih adil," katanya.

Beliau berkata, penyelidikan itu akan merangkumi pemetaan karbon biru (blue carbon), penilaian kesihatan ekosistem, intervensi pemulihan habitat serta penyelesaian terhadap isu kemerosotan pokok bakau, pemendapan pasir dan kelestarian industri berasaskan bakau.

Menurutnya, penglibatan komuniti sebagai rakan strategik dalam setiap fasa penyelidikan merupakan elemen penting bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat diteruskan untuk jangka panjang.

Pencapaian memperoleh geran antarabangsa itu sekali gus mengukuhkan reputasi UMT sebagai universiti peneraju penyelidikan marin dan kelestarian di rantau ini selain menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Bawah Air), SDG 15 (Kehidupan di Daratan) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Mengulas lanjut, Dr Giovanna menegaskan bahawa projek REVIVE dijangka menyumbang kepada pembangunan model pemulihan ekosistem bakau yang boleh dijadikan rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa dalam usaha menangani perubahan iklim, memulihara biodiversiti serta memperkukuh kesejahteraan komuniti pesisir secara lestari.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua penyelidik tersebut dan menganggap ia adalah satu pengiktirafan diperingkat global kepada UMT.

"Ini adalah bukti bahawa UMT mampu berada di barisan hadapan penyelidikan global dalam bidang kelestarian marin dan UMT akan memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan kelestarian ekosistem," katanya. 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp