
Bola sepak bawa Marq Jayson ke Boston, harumkan Malaysia & KV Keningau
Baru-baru ini, pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Marq Jayson Michael, 18, dipilih mewakili Malaysia ke Boston, Amerika Syarikat menerusi program Sports Visitor.
Lebih istimewa, Marq Jayson menerima tajaan penuh U.S. Department of State untuk menyertai program berprestij itu bersama peserta dari beberapa negara lain iaitu Jerman, Colombia, Turkmenistan, Hong Kong dan Kenya.
Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, Marq Jayson yang mengikuti program Seni Kulinari di KV Keningau sememangnya aktif dalam sukan bola sepak.
Minat yang mendalam terhadap sukan itu akhirnya membuka peluang untuk dirinya menimba pengalaman bertaraf antarabangsa.
"Sepanjang dua minggu di Boston University, pelajar ini telah mengikuti kuliah berkaitan pembangunan sukan, latihan intensif dan menyertai pelbagai aktiviti lain. Beliau juga terlibat dalam perlawanan bola sepak dan bola tampar bersama peserta dari pelbagai negara.
"Selain itu, Marq Jayson bersama peserta lain turut dibawa mengunjungi beberapa lokasi bersejarah dan institusi terpilih bagi mendalami budaya masyarakat Amerika Syarikat serta mengikuti sesi pembelajaran berkaitan kepimpinan, pembangunan belia dan pertukaran budaya," kongsi kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, peluang tersebut merupakan pengalaman yang sukar dilupakan Marq Jayson kerana bukan sahaja dapat menimba ilmu baharu, malah membawa tanggungjawab besar sebagai wakil Malaysia.
"Saya berasa sangat bertuah kerana terpilih menyertai program ini. Lebih bermakna apabila saya bukan sahaja membawa nama negara, malah turut mewakili Sabah dan KV Keningau.
"Sepanjang di sini, saya bukan belajar tentang sukan sahaja tetapi juga budaya, kepimpinan dan cara berkomunikasi dengan peserta dari pelbagai negara. Pengalaman ini membuka pandangan saya bahawa tiada yang mustahil jika kita berusaha bersungguh-sungguh," kata Marq Jayson.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, berkata, kejayaan anak didiknya menjadi bukti bahawa pelajar KV mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa apabila diberi peluang.
"Pemilihan Marq Jayson merupakan satu kebanggaan buat kolej dan negara. Ia membuktikan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu berdiri sama tinggi dengan peserta dari seluruh dunia.
"Kejayaan ini juga mencerminkan bagaimana pendidikan di KV bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah membentuk individu yang yakin, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global," jelasnya.
