Pelbagai aktiviti disusun bagi memberi peluang kepada peserta meneroka konsep sains dalam suasana pembelajaran yang lebih santai, aktif dan menyeronokkan.
Pelbagai aktiviti disusun bagi memberi peluang kepada peserta meneroka konsep sains dalam suasana pembelajaran yang lebih santai, aktif dan menyeronokkan.

BIOSPARK2026 cetus minat pelajar terhadap STEM dan bioteknologi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Oct 2026 01:56pm

Pendekatan pembelajaran interaktif dan aktiviti amali mampu menjadikan bidang sains lebih menarik, sekali gus membantu pelajar mengenali potensi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bioteknologi.

Usaha itu diterjemahkan menerusi Program BIOSPARK2026: Be The First, Be The Spark anjuran pelajar Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan, Sabah baru-baru ini.

Program dengan kerjasama U-Science UMS dan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS itu melibatkan 112 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat.

Pelbagai aktiviti disusun bagi memberi peluang kepada peserta meneroka konsep sains dalam suasana pembelajaran yang lebih santai, aktif dan menyeronokkan.

Antaranya termasuk senamrobik, ceramah STEM, BioTech Olympiad, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) serta lawatan ke tapak pameran interaktif yang membolehkan pelajar melihat dan mencuba aktiviti berkaitan STEM dan bioteknologi.

Pengarah BIOSPARK2026, Nurhakimin Saruddin berkata, program itu memberi ruang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan fasilitator, sekali gus membantu mereka memahami konsep sains dengan lebih mudah.

Menurutnya, pendedahan berkenaan penting bagi membina keyakinan pelajar serta memberikan gambaran awal tentang peluang melanjutkan pengajian dan membina kerjaya dalam bidang bioteknologi.

Sementara itu, Penyelaras Kursus SY32803 Reka Bentuk Projek dalam Bioteknologi, Profesor Madya Dr Mohd Khalizan Sabullah berkata, aktiviti berasaskan pengalaman praktikal membantu mendekatkan pelajar sekolah dengan bidang bioteknologi.

"Pada masa sama, penglibatan 44 pelajar Bioteknologi UMS sebagai fasilitator memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman ini turut membantu mereka mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyampaian ilmu kepada masyarakat," katanya.

Program BIOSPARK2026 diharap dapat menyemai minat terhadap STEM sejak di bangku sekolah serta menggalakkan lebih ramai pelajar meneroka bidang sains dan bioteknologi sebagai pilihan pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp